ISTANBUL, 3 Oktober -Pihak berkuasa Israel didakwa menafikan akses guaman kepada aktivis flotila bantuan antarabangsa yang ditahan ketika dalam perjalanan ke Gaza.
Pusat undang-undang Adalah berkata, pegawai imigresen Israel telah memulakan perbicaraan pengusiran terhadap aktivis terbabit di Pelabuhan Ashdod tanpa sebarang notis awal kepada peguam.
“Proses ini dijalankan tanpa kehadiran peguam, sekali gus melanggar hak asasi peserta flotila serta menafikan keadilan,” tegas Adalah dalam kenyataan.
Flotila berkenaan digempur tentera laut Israel lewat Rabu dan awal pagi Khamis sebelum puluhan aktivis ditahan.
Adalah memaklumkan, pasukan guaman pada awalnya tidak dibenarkan masuk ke pelabuhan, namun kemudian berjaya menemui aktivis yang ditahan selepas mendesak pihak berkuasa Israel.