fb fb fb fb fb

Sah, pesawat Azerbaijan Airlines mangsa serangan peluru berpandu Rusia

FOTO REUTERS

AKTAU, 28 Disember- Pegawai kanan Azerbaijan pada Khamis mengesahkan kepada Anadolu mengenai kesahihan laporan media terdahulu yang mencadangkan bahawa nahas pesawat Azerbaijan Airlines berhampiran bandar Aktau di Kazakhstan pada Rabu disebabkan oleh sistem peluru berpandu Rusia.

Ini berikutan laporan media Azerbaijan yang memetik sumber kerajaan, menyatakan bahawa hasil awal siasatan insiden itu mendapati pesawat tersebut diserang oleh sistem peluru berpandu Pantsir ketika ia menghampiri bandar Grozny.

Menurut laporan tersebut, sistem komunikasi pesawat itu lumpuh sepenuhnya akibat penggunaan sistem peperangan elektronik Rusia, menyebabkan pesawat itu hilang dari radar semasa berada di ruang udara Rusia.

Ia menambah bahawa pesawat itu hanya muncul semula di radar ketika berada di kawasan sekitar Laut Kaspia.

Pada Rabu, penerbangan AZAL yang membawa 67 penumpang dari ibu negara Azerbaijan, Baku, ke bandar Grozny di Republik Chechnya, Rusia, terhempas kira-kira 3 kilometer dari bandar Aktau di Kazakhstan, yang terletak di pesisir Laut Kaspia.

Menurut pegawai Kazakhstan, 38 orang terbunuh dalam nahas pesawat Embraer 190 tersebut, manakala 29 yang lain terselamat. Azerbaijan dan Kazakhstan telah melancarkan siasatan terhadap insiden ini.

Namun, kedua-dua Azerbaijan Airlines dan Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Rusia berkata bahawa hasil awal menunjukkan perlanggaran dengan burung sebagai punca nahas tersebut.

Bagaimanapun, rakaman dari lokasi nahas menunjukkan lubang besar di ekor pesawat, mencetuskan spekulasi bahawa ia mungkin dijatuhkan oleh serangan.

Terdahulu pada Khamis, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov enggan mengulas mengenai laporan media yang mendakwa nahas pesawat itu berpunca daripada serangan dan menggesa semua pihak menunggu sehingga siasatan selesai.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE