WASHINGTON, 28 Disember- Presiden AS yang bakal dilantik, Donald Trump, memfailkan permohonan pada Jumaat meminta Mahkamah Agung menangguhkan undang-undang yang bakal mengharamkan TikTok sehari sebelum pelantikannya pada 20 Januari, jika aplikasi itu tidak dijual oleh pemiliknya dari China, ByteDance.
Trump mencadangkan mahkamah memberikan masa tambahan untuk mencari penyelesaian politik terhadap isu tersebut.
Ketika penggal pertamanya pada 2017-2021, Trump cuba mengharamkan TikTok atas alasan keselamatan negara.
Trump mendakwa kerajaan China boleh mengakses data pengguna AS atau memanipulasi kandungan.
Dakwaan tersebut bagaimanapun dinafikan oleh ByteDance dan Beijing.
Presiden Joe Biden kemudian menandatangani undang-undang untuk melarang TikTok atas sebab yang sama.
Namun, Trump kini mengubah pendiriannya. Beliau menyokong TikTok kerana mahu mengekalkan persaingan dengan platform seperti Facebook dan Instagram yang dimiliki oleh Mark Zuckerberg.
Trump sebelum ini diharamkan daripada menggunakan sebarang platform media sosial termasuk Facebook selepas rusuhan di Capitol pada 6 Januari 2021, tetapi larangan itu telah ditarik balik.
Dalam dokumen mahkamah, peguam Trump menyatakan beliau tidak mengambil pendirian terhadap merit undang-undang kes berkenaan, tetapi meminta mahkamah menangguhkan tarikh akhir penjualan TikTok sehingga 19 Januari 2025 bagi membolehkan pentadbiran baharu mencari penyelesaian politik.-AFP.