fb fb fb fb fb

'Sabotaj' punca perkhidmatan rangkaian kereta api Jerman tergendala

(Trafik terganggu sepenuhnya selama kira-kira tiga jam/AFP)

BERLIN, 8 Oktober -"Sabotaj" yang menyasarkan infrastruktur komunikasi adalah punca gangguan besar kepada rangkaian kereta api Jerman hari ini, kata pengendali Deutsche Bahn.

"Sabotaj kabel" adalah punca kerosakan yang membawa kepada penggantungan perkhidmatan kereta api selama tiga jam di seluruh utara Jerman, kata jurucakap syarikat itu kepada AFP.

Menteri Pengangkutan, Volker Wissing pula berkata kabel penting "diputuskan dengan sengaja dan dengan niat" di dua tempat.

"Adalah jelas bahawa ini adalah tindakan yang disasarkan dan disengajakan," tambahnya, sambil berkata motifnya "belum diketahui".

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai "yang telah dirancang dengan jelas".

Secara khusus, terdapat kerosakan pada GSM-R, rangkaian radio yang digunakan untuk komunikasi di landasan kereta api, lapor Der Spiegel, memetik sumber keselamatan.

Sebarang kerosakan pada kabel itu memerlukan "pengetahuan khusus" tentang sistem rel, kata harian Bild, sambil menambah bahawa polis persekutuan sedang menyiasat.

Trafik terganggu sepenuhnya selama kira-kira tiga jam ekoran "kerosakan dalam sistem radio digital kereta api" sebelum dipulihkan, menurut Deutsche Bahn.

Perkhidmatan terjejas antara Berlin dengan wilayah di barat dan utara negara termasuk Schleswig-Holstein, bandar Hamburg dan Bremen, serta Lower Saxony dan sebahagian Rhine-Westphalia Utara. -AFP

('Sabotaj' punca perkhidmatan rangkaian kereta api Jerman tergendala/AFP)

Media Baharu