LA PAS, 24 Disember - Ketegangan meletus di ibu kota pentadbiran Bolivia, La Paz, pada Selasa apabila anggota Kesatuan Pekerja Bolivia (COB) bertembung dengan polis semasa perarakan menuntut pemansuhan dekri kerajaan baru-baru ini yang membatalkan subsidi petrol dan mencetuskan kenaikan mendadak tambang pengangkutan serta harga barangan asas.
Pasukan keselamatan menutup akses ke Plaza Murillo, yang menempatkan istana presiden dan bangunan Kongres, apabila ratusan penunjuk perasaan cuba memasuki zon terhad itu.
Polis melepaskan gas pemedih mata untuk menghalau orang awam, termasuk pelombong dan pekerja kilang yang turun padang untuk hari kedua berturut-turut.
Penunjuk perasaan turut membaling mercun dan meletupkan dinamit ketika mereka bergerak melalui bandar. Ia menambah kekacauan di jalan-jalan yang sudah diblok oleh kumpulan lain.
Pihak berkuasa melaporkan sekurang-kurangnya dua penahanan dan empat anggota polis cedera. Kekecohan terus berlaku walaupun kerajaan telah menjemput pemimpin COB untuk mengadakan dialog.
Selepas berunding dengan cawangan serantau, Setiausaha Eksekutif kesatuan itu bersetuju untuk menghadiri perbincangan, namun menegaskan bahawa demonstrasi di sekitar pusat pemerintahan akan diteruskan.- REUTERS