fb fb fb fb fb

Rusia akan bertindak balas jika diancam NATO- Putin

(Presiden Rusia, Vladimir Putin ketika Sidang Kemuncak Caspian ke-6 di Ashgabat, Turkmenistan pada 29 Jun 2022/ AFP)

MOSCOW, 30 Jun- Presiden Vladimir Putin menegaskan Rusia akan bertindak balas jika Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengerah tentera dan infrastruktur ke Finland dan Sweden selepas mereka menyertai pakatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS).

Bercakap kepada televisyen Rusia selepas perbincangan bersama pemimpin serantau di Turkmenistan, Putin mengakui hanya bermasalah dengan Ukraine, bukannya Sweden dan Finland, selain tidak menghalang kedua-dua negara itu menyertai NATO.

Putin berkata, ketegangan antara Moscow bersama Helsinki dan Stockholm tidak dapat dielakkan susulan keanggotaan mereka dalam NATO, biarpun ketiga-tiga negara itu mengekalkan hubungan baik, sebelum ini.

Tegasnya, ketegangan membabitkan ketiga-tiga negara itu tidak dapat dielakkan jika terdapat ancaman ke atas Rusia.

"Mereka perlu faham tiada ancaman sebelum ini. Namun, kita akan bertindak balas dan cipta ancaman sama ke atas wilayah yang memberi ancaman terhadap kita, jika kontinjen dan infrastruktur tentera ditempatkan di sana," katanya.


(Foto fail/REUTERS)

Maklum balas Putin itu dibuat sehari selepas Turki menarik balik kuasa vetonya ke atas tawaran Finland dan Sweden untuk menyertai NATO apabila ketiga-tiga negara bersetuju untuk melindungi keselamatan antara satu sama lain.

Ia sekali gus membolehkan Helsinki dan Stockholm meneruskan permohonan mereka untuk menyertai NATO, menandakan peralihan terbesar bagi keselamatan Eropah dalam beberapa dekad.

Putin berkata, objektif Moscow dikenali 'operasi ketenteraan khas' di Kyiv kekal dengan matlamatnya untuk membebaskan wilayah Donbas di timur Ukraine dan mewujudkan keadaan bagi memastikan keselamatan Rusia.

Katanya, tentera Rusia sudah mara di Ukraine dan campur tangan tentera berjalan seperti dirancang, selain menjelaskan tidak perlu menetapkan tarikh akhir untuk menamatkan kempen. - REUTERS

Media Baharu