KIEV, 30 Jun- Presiden Indonesia, Joko Widodo menawarkan untuk menjadi orang tengah dalam menyampaikan mesej harapan keamanan daripada Presiden Ukraine, Volodymr Zelenskiy kepada pemimpin Rusia, Vladimir Putin .
Presiden Widodo, atau Jokowi bertemu Zelensky pada Rabu dengan harapan untuk menghidupkan semula rundingan damai antara Rusia dan Ukraine dan meneroka tindakan untuk membebaskan eksport bijirin ke pasaran global.
Selepas menempuh perjalanan lebih 11 jam menggunakan kereta api berkelajuan tinggi, Jokowi tiba di Kiev, ibu negara Ukraine.
Pertemuan itu jadi tumpuan kerana Jokowi, satu-satunya pemimpin dari rantau Asia yang bersemuka dengan Zelensky.
Isu bekalan makanan seperti gandum dan baja, yang mana kedua-dua negara merupakan pembekal utama pasaran global menjadi tumpuan utama pertemuan kedua-dua pemimpin itu.
"Saya simpati dan takziah kepada yang terkesan. Dengan semua kekuatan rakyat dan kerajaan Indonesia, kami akan menyumbang kepada bantuan kemanusiaan termasuk perubatan dan komited untuk membina semula salah satu hospital di sekitar Kiev," katanya.
Selepas Ukraine, Jokowi dijangka bertemu Putin di Moscow dan berkata beliau akan menggesa Presiden Rusia itu bersetuju melaksanakan gencatan senjata. -REUTERS
(Jokowi bertemu Zelensky untuk menghidupkan semula rundingan damai antara Rusia dan Ukraine
dan meneroka tindakan membebaskan eksport bijirin ke pasaran global/ REUTERS)