fb fb fb fb fb

AS beli 105 juta dos vaksin Pfizer untuk musim gugur

(FOTO AFP)

WASHINGTON, 30 Jun- Amerika Syarikat mengumumkan perjanjian dengan Pfizer BioNTech bagi perolehan 105 juta dos vaksin COVID-19 untuk kegunaan rakyat negara itu pada musim luruh ini.

Kontrak bernilai AS$3.2 bilion itu termasuk vaksin untuk bayi, kanak-kanak kecil, remaja dan dewasa, dan mungkin termasuk vaksin khusus Omicron, yang disarankan oleh panel pakar kerajaan pada Selasa lepas.

Penghantaran akan bermula pada akhir musim panas dan diteruskan ke suku keempat, kata Pfizer dan kontrak itu memberi AS pilihan untuk mendapatkan sehingga 300 juta dos.

"Pentadbiran Biden-Harris komited untuk melakukan segala yang kami mampu untuk terus menjadikan vaksin percuma dan tersedia secara meluas kepada rakyat Amerika - dan ini merupakan langkah pertama yang penting untuk menyediakan kami menghadapi musim luruh," kata Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia, Xavier Becerra dalam kenyataan.

(Jurucakap White House sebelum ini berkata tanpa pembiayaan baharu, pada masa depan vaksin mungkin hanya diberikan secara percuma kepada mereka yang berisiko tinggi/AFP)

Pentadbiran Presiden Joe Biden telah meminta Kongres peruntukan sebanyak AS$23.5 bilion dalam pembiayaan COVID tambahan, tetapi rang undang-undang belum diluluskan.

Akibatnya, kerajaan persekutuan "terpaksa memperuntukkan semula AS$10 bilion dalam pembiayaan sedia ada, menarik berbilion dolar daripada usaha tindak balas COVID-19," kata kenyataan itu.

Jurucakap White House sebelum ini berkata tanpa pembiayaan baharu, pada masa depan vaksin mungkin hanya diberikan secara percuma kepada mereka yang berisiko tinggi. -AFP

Media Baharu