fb fb fb fb fb

OPEC+ dijangka mengekalkan had pengeluaran minyak sebelum ini

(Presiden Rusia Vladimir Putin/Fail AFP)

VIENNA, 30 Jun- Pengeluar utama minyak di ketuai Arab Saudi dan Rusia dijangka mengekalkan keputusan meningkatkan pengeluaran minyak sebelum ini semasa mesyuarat berkaitan pada Khamis, meskipun ada desakan untuk terus meningkatkan pengeluaran.

Serangan Rusia ke atas Ukraine telah memburukkan lagi kebimbangan berhubung bekalan minyak, menyebabkan harga terus melonjak ke paras tertinggi tahun ini.

Setelah Kesatuan Eropah (EU) melarang import minyak Rusia susulah pencerobohan itu, Kartel OPEC+ telah bersetuju semasa mesyuarat terakhir pada awal Jun untuk meningkatkan pengeluaran berbanding daripada yang dijangka.

Namun harga minyak dilaporkan terus meningkat.

“Kita patut jangka ‘rubber stamp’ (pak turut),” kata Jeffrey Halley, seorang penganalisis Oanda. "Memandangkan OPEC+ ketika ini tidak dapat mencapai sasaran dan sudah lama, saya menjangkakan tiada kejutan penurunan harga."

13 ahli Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum yang dipengerusikan Arab Saudi dan 10 rakan kongsi mereka, diketuai Rusia telah mengurangkan pengeluaran secara drastik pada 2020 akibat pandemik COVID-19 atas sebab sekatan pergerakan yang telah menyebabkan permintaan menjunam.

Sejak Mei tahun lalu, OPEC+ telah berusaha meningkatkan pengeluaran secara berkala. Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara pengguna utama lain telah meningkatkan pengeluaran secara lebih meluas.

Namun beberapa negara anggota OPEC+ gagal memenuhi kuota pengeluaran, sementara Iran dan Venezuela dan kini Rusia – juga gagal memenuhi keperluan disebabkan sekatan.



(Foto Fail AFP)

-TEATER POLITIK- 

Minggu ini Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan mereka telah menghampiri siling pengeluaran minyak menjelang kunjungan Presiden AS Joe Biden yang dijangka akan melobi untuk UAE meningkatkan pengeluaran.

Biden juga dijadual melawat Arab Saudi, pengeksport minyak terbesar dunia, sebagai sebahagian siri lawatannya bulan depan.

“Lawatan Presiden Biden ke Arab Saudi pada Julai lebih kepada ‘teater politik’ dan tidak akan memberi kesan besar kepada peningkatan bermakna melebihi rancangan OPEC+ meningkatkan pengeluaran bekalan minyak sebanyak 648,000 tong sehari pada Julai dan Ogos,” kata Edward Moya, seorang lagi penganalisis dari Oanda.

Isnin lalu, semasa sidang G7 negara-negara perindustrian di Jerman, Presiden Perancis Emmanuel Macron menerusi rakaman kamera memberitahu Biden mengenai butiran perbualan dengan pemimpin UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al-Nahyan.

Menurut Macron, Sheikh Mohamed berkata UAE sudah berada pada kapasiti "maksimum" dan Arab Saudi juga berdepan masalah sama untuk meningkatkan pengeluaran.

Pemimpin G7 telah bersetuju untuk mengusahakan had harga minyak Rusia sebagai salah satu cara mengurangkan pendapatan Kremlin.

Tatkala harga terus melambung tinggi, OPEC yang ditubuhkan untuk "menstabilkan pasaran minyak", dilihat terperangkap dengan strategi sendiri.

"Ada sedikit peluang untuk OPEC melakukan apa sahaja untuk menstabilkan pasaran," kata Ipek Ozkardeskaya, Penganalisis Kanan Bank Swissquote.

Penganalisis telah memberi amaran bahawa hanya kemelesetan yang mungkin boleh menurunkan harga minyak dunia. -AFP

Media Baharu