fb fb fb fb fb

Rangkuman konflik di Ukraine: Rusia ancaman terbesar keselamatan Barat

(Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky (Kanan) dan Presiden Indonesian Joko Widodo (kiri)
dalam pertemuan di Kiev pada 29 Jun 2022/AFP)

KIEV, 30 Jun- Para pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang mengadakan pertemuan dalam Sidang Kemuncak NATO di Madrid berkata Rusia kini telah menimbulkan “ancaman langsung terbesar kepada keselamatan Barat”.

Sehubungan itu, para anggota sepakat untuk meningkatkan tekanan selaras kenyataan ketua NATO, Jens Stoltenberg menyebut Ukraine boleh mengharapkan sokongan "selagi masih ada” termasuk mengukuhkan pertahanan negara itu merangkumi rancangan memodenkan angkatan bersenjata Kiev.

Rusia "adalah ancaman paling ketara dan langsung kepada keselamatan, keamanan serta kestabilan di kawasan Euro-Atlantik", kata pakatan 30 ahli NATO dalam satu kenyataan.

Para pemimpin bertemu dalam sidang kemuncak itu untuk mempersetujui strategi terhadap Rusia yang masih meneruskan operasi tentera di Ukraine. Ia merangkumi usaha memperkuatkan pasukan NATO di Ukraine, selain sepakat untuk mengerahkan tentera tambahan dan bersiap-siaga di bahagian timur.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden turut mengumumkan penempatan baharu anggota, kapal dan pesawat tenteranya.

NATO turut menjemput negara Nordic; bukan sekutunya iaitu Sweden dan Finland untuk menyertai pakatan itu.

Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba menerusi Twitter, “mengalu-alukan pendirian jelas NATO terhadap Rusia, juga penyertaan Finland dan Sweden.”

-NATO MENGGANGGU KESTABILAN DUNIA: RUSIA-

Moscow menyifatkan NATO sedang berusaha mengawal Rusia dan tawaran keahlian kepada Finland dan Sweden hanya akan menyebabkan “ketidakstabilan” kepada dunia.

“Sidang Kemuncak NATO di Madrid mengesahkan bahawa dasar blok itu untuk mengawal Rusia secara agresif," kata Timbalan Menteri Luar Sergei Ryabkov, memetik laporan agensi berita Rusia.

“Kami menganggap perkembangan pakatan Atlantik Utara hanya menjadi faktor ketidakstabilan hal ehwal antarabangsa,” tambah Ryabkov.

-144 ASKAR UKRAINE DIBEBASKAN: KIEV-

Menurut pihak berkuasa Ukraine, 144 askarnya, 95 orang merupakan petugas pertahanan di kilang keluli Azovstal, bandar pelabuhan Mariupol sudah dibebaskan menerusi pertukaran tahanan dengan Moscow.

“Ini pertukaran terbesar sejak bermulanya pencerobohan besar-besaran Rusia,” kata pengarah perisikan utama kementerian pertahanan Ukraine menerusi Telegram.  

Pemimpin pemisah pro-Rusia, Denis Pushilin juga menyatakan 144 askar dari Rusia dan Republik Rakyat Donetsk -- wilayah pemisahan yang diiktiraf Moscow -- telah "pulang ke rumah".


(Setiausaha Agung NATO, General Jens Stoltenberg (tengah), President AS Joe Biden (kiri)
dalam Sidang Kemuncak NATO di Madrid pada 29 Jun 2022/AFP)

-ZELENSKY WASPADA SIDANG KEMUNCAK G20-

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memberitahu Presiden Indonesia, Joko Widodo bahawa beliau akan hadir pada Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) akan datang di Bali, namun bergantung kepada senarai kehadiran lain.

“Sudah tentu saya menerima jemputan itu. Penyertaan Ukraine bergantung kepada situasi keselamantan negara dan penyertaan pihak lain dalam sidang kemuncak itu,” kata Zelensky selepas pertemuan di Kiev, merujuk secara jelas kepada kehadiran Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Jokowi ke Kiev sebelum meneruskan perjalanan ke Moscow untuk bertemu Putin.

Tahun ini, Indonesia menjadi Presiden G20, namun berdepan tekanan Barat khususnya AS untuk mengecualikan Putin daripada senarai kehadiran sidang kemuncak itu berikutan pencerobohan Moscow di Ukraine.

-TURKI UJI NATO-   

Turki menyatakan akan berusaha mendapatkan ektradisi 33 militan Kurdish dan suspek plot rampasan kuasa dari Sweden dan Finland bawah perjanjian untuk mendapatkan sokongan keahlian negara Nordic itu sebagai ahli NATO.

Ankara telah menyatakan persetujuan untuk menyokong keanggotaan Sweden dan Finland.

Presiden Recep Tayyip Erdogan telah menarik balik bantahan keahlian negara Nordic itu pada malam sebelum sidang kemuncak Madrid berlangsung.

Semasa rundingan itu, Erdogan berjaya mengikat 10 perkara menyaksikan kedua-dua negara berikrar untuk menyertai perjuangan Turki menentang militan Kurdish dan segera mengekstradisi suspek militan.

Susulan itu, Turki turut mengumumkan bahawa mereka akan menuntut ekstradisi 12 suspek dari Finland dan 21 orang dari Sweden.

-BAS, KERETA API MENGHUBUNGKAN CRIMEA, SELATAN UKRAINE-

Pihak berkua Crimea mengumumkan perkhidmatan bas dan kereta api antara bahagian semenanjung yang diimpikan Moscow dan bahagian yang diduduki Rusia di selatan Ukraine.

“Bermula 1 Julai, perkhidmatan bas dan kereta api antara Crimea dengan wilyah Kherson dan Zaporizhzhia akan dilancarkan semula selepas dihentikan sejak lapan tahun lalu,” kata Sergei Aksyonov, Ketua Crimea pro-Moscow.

Pencerobohan Rusia bertujuan untuk menamatkan pengasingan Crimea dengan menguasai sebahagian besar kawasan di tenggara Ukraine seterusnya mewujudkan hubungan darat antara Rusia dan bahagian semenanjung, yang dirampas Moscow pada 2014. –AFP

Media Baharu