fb fb fb fb fb

Rusia umum perjanjian pertukaran kanak-kanak dengan Ukraine

Menteri Qatar bagi Kerjasama Antarabangsa Lolwah Al-Khater (tengah) dan Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia di Parlimen Ukraine Dmytro Lubinets (tengah kiri) bergambar bersama kanak-kanak Ukraine dan keluarga mereka di Doha pada 24 April 2024/ AFP

DOHA, 25 April- Pesuruhjaya hak kanak-kanak Rusia semalam mengumumkan perjanjian dengan Ukraine untuk menukar hampir 50 kanak-kanak yang dipindahkan akibat pencerobohan Moscow namun seorang pegawai Ukraine kemudiannya enggan mengesahkan perjanjian itu.

Pegawai Kremlin Maria Lvova-Belova mengumumkan “buat pertama kali dalam format bersemuka, mereka mengadakan perbincangan dengan pihak Ukraine.

Katanya, seramai 29 kanak-kanak akan pergi ke Ukraine dan 19 pula ke Rusia.

Moscow dikatakan secara paksa membawa kanak-kanak Ukraine ke wilayah Rusia semasa serangan besar-besaran.

Lvova-Belova dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan berkaitan dakwaan tersebut.

Namun dalam penampilan media berturut-turut, ketika pegawai Rusia dan Ukraine bertemu dengan pengantara Qatar di Doha, pesuruhjaya hak asasi manusia parlimen Ukraine, Dmytro Lubinets memberitahu AFP dia "tidak dapat mengesahkan maklumat itu".

Pegawai Ukraine itu menambah kedua-dua negara "tidak mempunyai sebarang komunikasi langsung mengenai kes tersebut.

Sejak Julai 2023, Qatar telah membantu membawa pulang puluhan kanak-kanak Ukraine yang dibawa ke Rusia dan menduduki wilayah semasa perang dua tahun.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata 16 kanak-kanak Ukraine, yang mengiringi delegasi negara itu dan telah mendapat manfaat daripada pertukaran sebelum ini, berada di Qatar untuk pemulihan perubatan, mental dan sosial.

“Semua mereka sebelum ini telah dihantar pulang secara paksa ke Rusia, namun kami berterima kasih kepada Qatar atas usaha pengantaraan yang mesra, mereka telah dibebaskan," katanya Zelensky tanpa menangani dakwaan Rusia bahawa 48 kanak-kanak terlibat dalam pertukaran, termasuk 19 yang akan pergi ke Rusia.

Ukraine percaya Rusia telah mengambil lebih 19,000 kanak-kanak secara haram sejak permulaan pencerobohan pada 2022, yang mana kurang daripada 400 telah dikembalikan.

Moscow menafikan tuduhan itu, mengatakan ia telah memindahkan kanak-kanak untuk keselamatan mereka dari zon pertempuran.

Nasib kanak-kanak itu berisiko di Ukraine sejak perang bermula.

Beberapa ibu bapa kanak-kanak itu terbunuh, manakala yang lain dipisahkan daripada penjaga oleh barisan hadapan yang bergerak pantas pada permulaan pencerobohan.

Ada yang tinggal di rumah anak yatim Ukraine di kawasan yang diduduki Rusia ketika itu.

Lubinets berkata delegasinya dan pengantara Qatar telah membincangkan, sebagai tambahan kepada kepulangan kanak-kanak Ukraine, isu tahanan awam Ukraine yang ditahan di Rusia dan "peranan berpotensi Qatar untuk menjadi orang tengah antara Ukraine dan Persekutuan Rusia mengenai perkara tersebut- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI