JAKARTA, 24 April- Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) secara rasmi mengisytiharkan Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka sebagai Presiden dan Naib Presiden negara itu bagi penggal 2024 hingga 2029.
Pengerusi KPU, Hasyim Asy’ari mengumumkan keputusan itu di pejabat suruhanjaya pada Rabu berikutan Mahkamah Perlembagaan telah menolak rayuan kedua-dua calon Presiden yang kalah, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo, yang mencabar keputusan pilihan raya berkenaan.
Sambil melahirkan rasa syukur pada majlis itu, Prabowo berkata: ''Saya amat berbesar hati. Paling penting, kami bersyukur kerana menegakkan proses demokrasi seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan kita,''.
Beliau dan Gibran berjanji memberi komitmen mereka untuk berkhidmat kepada semua rakyat Indonesia termasuk mereka yang tidak menyokong mereka dan berjanji untuk menunjukkannya melalui tindakan.
Menteri Pertahanan Prabowo juga menyeru elit politik untuk bersatu dan memajukan negara selepas proses demokrasi yang mencabar seperti yang beliau tegaskan: ''Rakyat mengharapkan pemimpin bekerjasama untuk kemakmuran dan menamatkan kemiskinan, rasuah dan kelaparan di Indonesia,".
Beberapa menteri Kabinet, parti politik, calon Presiden Anies dan calon Naib Presiden, Muhaimin Iskandar, turut menghadiri majlis itu.
Pada Isnin, Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa dakwaan Anies dan Ganjar mengenai penyalahgunaan bantuan sosial dan pelanggaran berkecuali pegawai kerajaan tidak mempunyai alasan undang-undang.
Keputusan itu membuka jalan bagi Prabowo untuk menjadi Presiden seterusnya, menggantikan Presiden Joko Widodo, yang menamatkan penggal kedua dan terakhirnya pada Oktober.
Majlis angkat sumpah jawatan Presiden dan Naib Presiden akan diadakan pada 20 Oktober ini.
Pada pilihan raya 14 Februari lepas, Prabowo dan anak sulung Joko Widodo, Gibran memperoleh kemenangan dengan 58.6 peratus undi, daripada 164,227,475 undi.
Anies, bekas Gabenor Jakarta dan Muhaimin memperoleh 24.9 peratus manakala Ganjar, bekas Gabenor Jawa Tengah dan rakan kongsinya, Mahfud MD meraih 16.5 peratus undi.
Sejak awal pagi, seramai 4,266 anggota polis dan tentera ditempatkan di bangunan KPU.
Unit K9 dan kenderaan berperisai polis juga diletakkan di seluruh kawasan untuk meningkatkan keselamatan.- BERNAMA