KIEV, 13 Oktober -Ketegangan antara Rusia dan Ukraine terus memuncak pada Ahad apabila kedua-dua pihak melancarkan serangan balas.
Rusia menembak jatuh lebih 70 dron Ukraine, manakala Ukraine mengumumkan telah menguasai semula sebuah perkampungan di wilayah Zaporizhzhia.
Kementerian Pertahanan Rusia dalam kenyataan melaporkan bahawa dalam tempoh 24 jam lalu, tentera Rusia telah melancarkan serangan di pelbagai lokasi, memusnahkan sejumlah besar kelengkapan tentera Ukraine.
Sebanyak 12 daerah perbandaran disasarkan dengan kira-kira 130 dron, menyebabkan seorang awam terbunuh dan tiga lagi cedera.
Sistem pertahanan udara Rusia dilaporkan berjaya memintas sembilan roket HIMARS buatan Amerika Syarikat, satu peluru berpandu jarak jauh Neptune, serta 72 dron bersayap tetap.
Gabenor Wilayah Belgorod, Vyacheslav Gladkov berkata, wilayah tersebut terus diserang hebat oleh dron Ukraine dalam tempoh 24 jam lalu.
Gladkov turut memaklumkan bahawa 52 penempatan terjejas akibat tembakan Ukraine, dengan sekurang-kurangnya 34 peluru dilancarkan dan 129 serangan dron direkodkan. Daripada jumlah itu, 45 berjaya dipintas atau dinetralkan oleh pertahanan udara.
Sementara itu, pihak berkuasa Ukraine melaporkan serangan Rusia ke atas infrastruktur tenaga di wilayah Donetsk, Odessa, dan Chernihiv, yang menyebabkan kerosakan besar kepada beberapa fasiliti tenaga utama negara itu.
Briged Mekanize Ke-24 Ukraine pula mengumumkan bahawa mereka telah berjaya merampas semula kawalan ke atas perkampungan Mali Shcherbaky di Oblast Zaporizhzhia dan mengibarkan bendera Ukraine di kawasan tersebut. - REUTERS