MEXICO, 13 Oktober -Sekurang-kurangnya 47 orang terkorban dalam kejadian banjir lumpur di beberapa kawasan pergunungan di timur Mexico, sejak Khamis lalu.
Kejadian itu turut memusnahkan rumah dan memutuskan hubungan komunikasi di kawasan terjejas.
Rosalia Ortega, 76 tahun, hanya mampu berdiri dalam kesedihan di tepi mayat adiknya yang ditemui di tengah aliran lumpur yang menghanyutkan kediaman mereka di Huauchinango, sebuah bandar di negeri Puebla.
"Kami sedih, tapi sekurang-kurangnya kami boleh kebumikan dia secara Kristian," katanya kepada AFP.
Empat negeri paling teruk terjejas iaitu Hidalgo, Puebla, Queretaro dan Veracruz, kini sedang bergelut memulihkan perkhidmatan asas, termasuk telekomunikasi dan bekalan elektrik.
Banyak kawasan masih terputus hubungan, terutama di pergunungan Sierra Madre Oriental yang menjadi pusat bencana.
Di Huauchinango, yang mempunyai kira-kira 100,000 penduduk, sungai gunung yang melimpah secara tiba-tiba lewat malam Khamis telah menghanyutkan rumah dan meragut nyawa dalam sekelip mata.
Maria Salas, 49, seorang tukang masak yang kini berlindung di bawah payung berhampiran kawasan rumahnya yang dikawal tentera, kehilangan lima ahli keluarga apabila rumah mereka ranap akibat tanah runtuh. Rumahnya sendiri turut musnah.
"Saya tak boleh ambil barang-barang saya. Saya tak boleh tidur di sana. Saya langsung tak ada apa-apa," katanya.
Penduduk yang kehilangan ahli keluarga kini berdepan kesukaran menanggung kos pengebumian, selain cuba mendapatkan semula harta yang mungkin masih boleh diselamatkan daripada runtuhan.
Pihak berkuasa kini sedang giat menyalurkan bantuan kecemasan dan menjalankan kerja-kerja pemulihan di kawasan yang masih boleh diakses, termasuk Huauchinango, salah satu komuniti terbesar dalam zon bencana. - AFP