fb fb fb fb fb

Rusia tuduh Ukraine lancar serangan ke atas pasar raya di Donetsk

Foto Reuters

MOSCOW, 11 Januari – Rusia mendakwa Ukraine melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sebuah pasar raya di bandar Donetsk, yang kini berada di bawah kawalan Rusia di timur Ukraine.

Ketua wilayah Donetsk yang dikuasai Rusia, Denis Pushilin, melalui Telegram menyatakan bahawa beliau mempunyai "maklumat yang disahkan" mengenai serangan tersebut, yang menyebabkan empat orang cedera.

Serangan itu berlaku di bandar utama wilayah berkenaan, juga dikenali sebagai Donetsk.

Pushilin menuduh tentera Ukraine menggunakan peluru berpandu HIMARS yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat.

Sementara itu, agensi berita Rusia, RIA, melaporkan penyiasat mendakwa dua orang maut dan dua lagi cedera akibat serangan tersebut.

Kenyataan rasmi pihak tentera Ukraine tidak menyentuh insiden pasar raya berkenaan.

Namun, mereka mengesahkan telah melancarkan serangan di wilayah Donetsk minggu ini sambil menegaskan bahawa langkah-langkah sewajarnya telah diambil bagi meminimumkan risiko kepada orang awam.

Serangan tersebut memusnahkan bahagian hadapan pasar raya dua tingkat yang dikenali sebagai "Moloko" (Susu).

Insiden itu turut meninggalkan kaca bertaburan serta beberapa kenderaan terbakar di kawasan berhampiran.

Rakaman dashcam yang dimuat naik oleh seorang pemandu berdekatan menunjukkan detik pasar raya itu terkena serangan, menyebabkan letupan besar dengan api marak ke udara.

Pushilin turut melaporkan bahawa artileri Ukraine menyerang sebuah bangunan apartmen di Svitlodarsk, kawasan di bahagian utara Donetsk, menyebabkan dua orang maut dan lapan lagi cedera.

Sebaliknya, kenyataan pihak Ukraine menyatakan bahawa pasukan mereka telah melancarkan serangan tepat ke atas sebuah pos arahan Rusia di Svitlodarsk.

Menurut penyiar awam Ukraine, Suspilne, pendakwa raya melaporkan bahawa serangan peluru Rusia telah mengorbankan seorang dan mencederakan seorang lagi di bandar Pokrovsk, sebuah pusat logistik penting di wilayah Donetsk, yang kini menjadi sasaran kemaraan pasukan Rusia.

Kedua-dua pihak mendakwa tidak menyasarkan orang awam sepanjang konflik tersebut, yang kini menghampiri tahun ketiga.

Namun begitu, peperangan telah mengorbankan ribuan nyawa, dengan majoriti mangsa adalah rakyat Ukraine.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN