WASHINGTON, 11 Januari - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengkritik keputusan Meta untuk menghentikan pemeriksaan fakta di Facebook dan Instagram di negara itu, menyifatkan tindakan tersebut sebagai "sangat memalukan".
Keputusan itu dibuat selepas Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg mengumumkan penghentian pemeriksaan fakta oleh pihak ketiga di AS, dengan tugasan tersebut diserahkan kepada pengguna biasa menerusi model “nota komuniti” yang popular di platform X.
Langkah itu mencetuskan kebimbangan antarabangsa, termasuk daripada Rangkaian Pemeriksaan Fakta Antarabangsa (IFCN), yang memberi amaran tentang kemungkinan kesan buruk jika dasar tersebut diperluaskan ke lebih 100 negara di mana program Meta kini beroperasi.
Presiden Biden menyifatkan keputusan Meta sebagai tindakan yang bertentangan dengan nilai asas negara itu.
“Saya fikir ini sangat memalukan,” kata Biden di White House. “Bercakap benar itu penting. Ini sepenuhnya bertentangan dengan apa yang Amerika perjuangkan.”
IFCN dalam surat terbuka kepada Zuckerberg turut menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman maklumat salah yang boleh mencetuskan ketidakstabilan politik, campur tangan pilihan raya, keganasan massa, dan genosid di beberapa negara.
Zuckerberg, dalam wawancara bersama podcaster Joe Rogan, mempertahankan tindakan Meta dengan menyamakan pemeriksaan fakta dengan “sesuatu daripada 1984,” merujuk kepada novel dystopia karya George Orwell.
Beliau turut mengkritik media tradisional kerana mempromosikan naratif bahawa maklumat salah di media sosial mempengaruhi pilihan raya 2016.
Zuckerberg mendakwa bahawa program pemeriksaan fakta “menghancurkan kepercayaan” terutamanya di AS.
IFCN menolak dakwaan bahawa pemeriksaan fakta “terlalu berat sebelah politik” dengan menegaskan bahawa rakan kongsi Meta menjalani proses verifikasi ketat untuk memastikan tidak berpihak.
Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk, menegaskan bahawa mengawal kandungan berbahaya dalam talian “bukan penapisan,” malah boleh mengelakkan kesan buruk dalam dunia nyata.
Brazil memberikan tempoh 72 jam kepada Meta untuk menjelaskan dasar pemeriksaan fakta di negara tersebut.
Peguam Negara, Jorge Messias, memberi amaran bahawa tindakan undang-undang boleh diambil jika Meta gagal memberikan penjelasan.
Aktivis media dari Thailand, Supinya Klangnarong, memberi amaran bahawa penyebaran ucapan kebencian boleh mencetuskan keganasan.
Kebimbangan itu diperkuat dengan perubahan garis panduan komuniti Meta yang membenarkan tuduhan “penyakit mental” terhadap individu berdasarkan jantina atau orientasi seksual mereka.
Keputusan Meta ini dibuat kurang dua minggu sebelum Donald Trump memegang jawatan, di tengah-tengah sejarah hubungan tegang antara beliau dan syarikat tersebut.-AFP