fb fb fb fb fb

PBB desak hentikan keganasan melampau di Sudan

Foto AFP

DOHA, 4 November — Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyeru agar pertempuran di Sudan segera dihentikan, sambil memberi amaran bahawa krisis di negara itu kini semakin meruncing selepas kumpulan tentera pemberontak, RSF menguasai bandar utama.

Dalam satu sidang media bersempena Sidang Kemuncak Dunia bagi Pembangunan Sosial di Doha, Qatar, Guterres menggesa pihak-pihak yang bertelagah agar segera duduk di meja rundingan bagi mencari penyelesaian segera.

“Saya menyeru semua pihak bertelagah supaya mengakhiri 'mimpi ngeri keganasan' ini, sekarang juga,” katanya.

“Krisis mengerikan di Sudan kini semakin di luar kawalan,” tambah Guterres.

Pada akhir Oktober lalu, RSF yang berperang dengan tentera Sudan sejak 2023, dilaporkan berjaya menawan bandar strategik El-Fasher selepas mengepungnya selama 18 bulan.

Beberapa laporan menyebut berlakunya pembunuhan, keganasan seksual, rompakan, serangan terhadap petugas bantuan kemanusiaan serta penculikan di kawasan sekitar El-Fasher, dengan talian komunikasi di wilayah itu masih terputus.

“El-Fasher dan kawasan sekitarnya di Darfur Utara telah menjadi pusat penderitaan, kebuluran, keganasan dan perpindahan besar-besaran,” kata Guterres.

Beliau menambah bahawa keadaan di kawasan bergolak semakin memburuk sejak RSF memasuki bandar tersebut, menyaksikan ratusan ribu orang awam kini terperangkap tanpa akses kepada makanan, rawatan atau perlindungan.

“Orang ramai di ambang kematian akibat kelaparan, penyakit dan keganasan,” tegasnya, sambil menzahirkan kebimbangan terhadap laporan berterusan mengenai pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta hak asasi manusia.-AFP

EZA YUSMAWATI YAACOP