fb fb fb fb fb

Keluarga tuntut £2 bilion berhubung nahas helikopter bekas pemilik Leicester

Foto Reuters

LONDON, 11 Januari – Keluarga mendiang bekas pemilik Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha telah memfailkan tuntutan undang-undang bernilai £2.15 bilion (AS$2.63 bilion) terhadap pengeluar helikopter yang terlibat dalam nahas tragis pada 2018.

Vichai dan empat individu lain maut apabila helikopter peribadi beliau terhempas sejurus selepas berlepas dari Stadium King Power, lokasi kelab Liga Perdana Inggeris itu, pada Oktober 2018.

Dalam tuntutan tersebut, keluarga Srivaddhanaprabha mendakwa Leonardo S.p.A., pengeluar helikopter tersebut, bertanggungjawab sepenuhnya atas insiden berkenaan.

Keluarga mendiang kini menuntut pampasan sebanyak £2.15 bilion bagi kerugian pendapatan akibat kematian beliau, kesakitan yang dialami sebelum kematian, serta kos pengebumian.

Tuntutan itu difailkan di Mahkamah Tinggi London pada Jumaat, menurut firma perhubungan awam Portland yang mewakili keluarga tersebut.

Menurut laporan Badan Penyiasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB), terdapat “kebimbangan serius” mengenai keselamatan helikopter tersebut.

Portland menyatakan bahawa laporan AAIB mendapati nahas berpunca daripada kegagalan komponen utama di bahagian rotor ekor.

“Komponen ini dikenal pasti sebagai kritikal dalam fasa reka bentuk oleh Leonardo, dan kegagalannya membawa akibat yang sangat buruk,” jelas firma itu.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa kegagalan tersebut mencetuskan rangkaian masalah lain, menyebabkan helikopter berpusing secara tidak terkawal dan terhempas sebelum terbakar.

Portland turut mendakwa pelbagai kelemahan dalam proses reka bentuk Leonardo menyumbang kepada kegagalan komponen tersebut.

“Laporan AAIB menyimpulkan bahawa juruterbang tidak dapat melakukan apa-apa untuk mengelakkan nahas ini,” tambah firma tersebut.

Pada masa kejadian, kumpulan peruncitan milik mendiang, King Power, mencatatkan pendapatan tahunan lebih £2.5 bilion dengan keuntungan bersih mencecah £237 juta setahun sebelumnya.

Aiyawatt Srivaddhanaprabha, yang menggantikan bapanya sebagai Pengerusi Leicester City, menyatakan rasa sedih keluarganya.

“Keluarga kami masih merasakan kehilangan ayah seperti hari pertama kejadian,” katanya. “Anak-anak saya dan sepupu mereka tidak akan pernah mengenali datuk mereka, dan itu menambah penderitaan kami.”

Aiyawatt turut mengkritik pengeluar helikopter tersebut: “Ayah saya mempercayai Leonardo ketika membeli helikopter itu. Namun, laporan menunjukkan bahawa kepercayaan itu telah disalahgunakan secara tragis.”

Beliau menegaskan bahawa keluarga Srivaddhanaprabha berpegang bahawa Leonardo S.p.A. bertanggungjawab sepenuhnya atas kematian bapanya.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN