DOHA, 4 November — Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memberi amaran berhubung pelanggaran gencatan senjata di Gaza, yang sebelum ini menamatkan serangan berterusan Israel di wilayah berkenaan.
Menurut laporan Hamas, berlaku serangan udara terbaharu oleh tentera rejim Zionis pada Sabtu, selepas menerima tiga mayat dari Gaza yang didakwa kononnya bukan milik tahanan warga negara haram tersebut.
Terdahulu pada Selasa lepas, serangan tentera Israel turut dilaporkan meragut lebih 100 nyawa, manakala serangan pada 19 Oktober mengorbankan 45 orang, menurut agensi pertahanan awam wilayah itu.
“Saya amat bimbang dengan pelanggaran berterusan terhadap gencatan senjata di Gaza,” kata Guterres.
“Serangan mesti dihentikan serta merta dan semua pihak perlu mematuhi fasa pertama perjanjian damai yang telah dipersetujui,” tambah beliau.-AFP