fb fb fb fb fb

Banjir kilat di Indonesia, 23 masih hilang

Foto Facebook BNPB

JAKARTA, 4 November — Sekurang-kurangnya 23 penduduk dilaporkan hilang selepas banjir kilat melanda kawasan pedalaman daerah Nduga, di wilayah Papua Pegunungan, Indonesia, hujung minggu lalu.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB), kejadian itu berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak Sabtu, yang menyebabkan dua kawasan di wilayah berkenaan dilanda banjir besar serta beberapa insiden tanah runtuh.

Jurucakap BNPB, Abdul Muhari, berkata antara mangsa yang hilang ialah 15 individu yang dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi sungai.

“Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan, namun keadaan cuaca buruk dan tanah runtuh berskala besar menyukarkan pergerakan pasukan di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Indonesia kini memasuki musim tengkujuh yang lazimnya bermula dari November hingga April, tempoh yang sering menyaksikan kejadian tanah runtuh, banjir kilat serta penyakit bawaan air.

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa perubahan iklim global semakin mempengaruhi corak hujan dan ribut di rantau ini, menjadikan hujan lebih lebat, banjir lebih kerap dan angin kencang semakin sukar dijangka.

Tahun ini sahaja, Indonesia telah berdepan beberapa tragedi besar akibat cuaca ekstrem.

Pada September lalu, 18 orang terkorban di Bali, dalam banjir terburuk di pulau peranginan itu dalam tempoh 10 tahun.

Sementara 25 lagi maut di Jawa Tengah pada Januari lalu selepas banjir dan tanah runtuh melanda beberapa kawasan penempatan.-AFP

EZA YUSMAWATI YAACOP