KIEV, 13 Disember- Ukraine sedang berusaha menangkis serangan peluru berpandu baharu Rusia yang menyasarkan sistem tenaga negaranya pada musim sejuk.
Menteri Tenaga German Galushchenko berkata Rusia telah meningkatkan serangan ke atas infrastruktur tenaga Ukraine.
Beliau berkata serangan itu menyebabkan ratusan ribu orang mengalami gangguan bekalan elektrik sementara, ketika suhu mencecah sifar darjah Celsius.
"Musuh terus melakukan keganasan. Sekali lagi, sektor tenaga di seluruh Ukraine diserang secara besar-besaran," katanya.
Amaran serangan udara telah diumumkan sejak pukul 7.00 pagi waktu tempatan dan saluran pemantauan ancaman melaporkan peluru berpandu di beberapa wilayah Ukraine.
Menurut data rasmi, Rusia telah melancarkan sekurang-kurangnya 11 serangan besar-besaran ke atas infrastruktur tenaga Ukraine sejak awal tahun ini.
Pengendali tenaga Ukraine juga telah melaksanakan pemadaman bekalan elektrik selama beberapa jam bagi mengurangkan penggunaan bekalan itu. Berikutan serangan itu, sekatan bekalan kuasa telah ditingkatkan pada Jumaat.
Moscow sebelum ini mengakui menyerang loji tenaga Ukraine dan mendakwa ia adalah sasaran yang tepat.
Pegawai Ukraine berulang kali mengecam serangan ke atas sistem tenaga sebagai cubaan melemahkan semangat penduduk.-AFP