fb fb fb fb fb

Konflik di Myanmar, PBB desak henti keganasan

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres/ AFP

WASHINGTON, 13 Disember- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyatakan kebimbangan berhubung peningkatan konflik di Myanmar yang melibatkan pasukan keselamatan dan kumpulan bersenjata etnik.

Menurut jurucakap PBB Stephane Dujarric, pertempuran di Rakhine telah menyebabkan ramai orang awam mengalami penderitaan dan terpaksa berpindah.

Katanya, serangan udara terhadap orang awam menyebabkan banyak yang terkorban di negara itu.

"Setiausaha Agung mengulangi seruannya kepada semua pihak yang terlibat dalam konflik di Myanmar supaya menghentikan keganasan dan mengingatkan mereka tentang kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa untuk melindungi orang awam," kata Dujarric.

Beliau juga menggesa semua pihak supaya mengelakkan tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan antara komuniti.

Pertempuran telah melanda Rakhine sejak Tentera Arakan menyerang pasukan keselamatan pada November tahun lalu, menamatkan gencatan senjata yang sebahagian besarnya bertahan sejak rampasan kuasa junta pada 2021.

Ketika ini, kumpulan bersenjata etnik mendakwa telah menguasai sepenuhnya kawasan penting di sepanjang sempadan Bangladesh. Situasi tersebut memberi tekanan kepada junta, sekali gus mampu mencetuskan lebih banyak pertempuran antara dua pihak tersebut.-AFP

ROSLINA BINTI DIN