fb fb fb fb fb

Rusia sekat beberapa saluran dan laman sesawang media termasuk BBC

MOSCOW, 4 Mac- Badan pemerhati media Rusia memaklumkan telah menyekat akses kepada BBC dan laman sesawang media bebas lain sebagai langkah mempertingkat kawalan ke atas internet lebih seminggu selepas Rusia menyerang Ukraine.

Sekatan oleh Perkhidmatan Persekutuan untuk Penyeliaan dalam Sfera Telekom, Teknologi Maklumat dan Komunikasi Massa (Roskomnadzor) itu atas permintaan daripada pihak pendakwa melibatkan laman sesawang BBC; laman bebas Meduza; penyiar Jerman, Deutsche Welle dan laman sesawang berbahasa Rusia yang dibiayai Amerika Syarikat, Radio Free Europe/Radio Liberty, Svoboda.

Agensi itu memberitahu, permintaan pendakwa difailkan pada 24 Februari, iaitu hari Presiden Rusia, Vladimir Putin melancarkan serangannya ke atas Ukraine.


(Gambar hiasan / Agencies)

Stesen radio berfahaman liberal, Ekho Mosvky yang majoritinya dimiliki gergasi tenaga Rusia, Gazprom berkata pada Khamis, ia akan ditutup selepas menyiarkan liputan mengenai perang Ukraine.

Pihak berkuasa Rusia pada Isnin telah menyekat laman sesawang Ekho kerana didakwa dengan sengaja menyebarkan maklumat palsu mengenai konflik tersebut.

Ketua Pengarang, Alexei Venediktov menerusi catatan di saluran Telegram Ekho pada Khamis menyatakan, kandungan akan terus diterbitkan menerusi Youtube dan media sosial meski lembaga pengarah telah mengundi untuk membubarkan stesen radio dan laman web berkenaan.

Sementara itu, media Rusia telah diarah untuk hanya menerbitkan maklumat yang disediakan oleh sumber rasmi yang menggambarkan pencerobohan di Ukraine sebagai operasi ketenteraan.

Saluran televisyen yang dikawal Rusia telah menggandakan naratif Kremlin tentang nasionalisme di Ukraine, sambil menuduh Kiev menggunakan orang awam sebagai perisai manusia dalam konflik itu.- AFP

Media Baharu