fb fb fb fb fb

Rusia lancar serangan di lebih 40 bandar Ukraine

KIEV, 26 Mei- Tentera Rusia menyerang lebih 40 bandar di wilayah Donbas di timur Ukraine.

Mereka turut mengancam untuk menutup laluan terakhir orang awam yang terperangkap keluar dari kawasan pencerobohan yang memasuki bulan keempat.

Selepas gagal menawan ibu negara Ukraine, Keiv atau bandar kedua Kharkiv, Rusia kini cuba mengawal Donbas sepenuhnya melibatkan dua wilayah timur yang dituntut Moscow bagi pihak kumpulan pemisah.

Rusia kemudiannya mengerah ribuan tenteranya ke wilayah berkenaan dan menyerang dari tiga arah dalam cubaan mengepung tentera Ukraine yang bertahan di bandar Sievierodonetsk dan Lysychansk.

Sekiranya tentera Ukraine di dua kawasan itu berjaya ditumpaskan, seluruh Luhansk akan berada di bawah kawalan Rusia.

Pasukan Petugas Bersama angkatan tentera Ukraine berkata, Rusia telah mengebom lebih 40 bandar di Donetsk dan Luhansk, memusnah atau merosakkan 47 kawasan awam, termasuk 38 kediaman dan sebuah sekolah.

(Foto fail /AFP)

Sebanyak 10 serangan musuh berjaya diatasi, dengan empat kereta kebal dan empat dron dimusnahkan serta 62 tentera musuh dibunuh.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata Rusia menghantar jumlah tentera yang ramai di beberapa kawasan timur negara itu.

Ketika Moscow cuba mengukuhkan cengkaman di kawasan yang sudah ditawan, Presiden Rusia, Vladimir Putin menandatangani satu perintah yang memudahkan penduduk kawasan yang ditawan untuk mendapatkan kewarganegaraan dan pasport Rusia.

Semalam, Parlimen Rusia turut memansuhkan had usia perkhidmatan kontrak dalam angkatan tenteranya yang menggambarkan keperluan untuk menggantikan anggota yang terkorban.

Mengulas perkara itu, Zelensky menyifatkan langkah Parlimen Russia menunjukkan negara itu sudah tidak memiliki jumlah anggota tentera mencukupi, namun masih memiliki semangat untuk bertempur dan ia mengambil tempoh untuk menghancurkan semangat itu. -AFP

Media Baharu