fb fb fb fb fb

EU beli vaksin, usaha bendung Cacar Monyet

BRUSSELS, 27 Mei - Kesatuan Eropah (EU) kini dalam usaha mencari alternatif terbaik membendung penularan wabak Cacar Monyet yang kian menunjukkan peningkatan di benua tersebut.

Usaha itu termasuk membeli vaksin secara berpusat dalam kalangan negara anggota menerusi pihak Berkuasa Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Kecemasan Kesihatan Eropah (HERA).

Agensi penyakit EU berkata Cacar Monyet di seluruh dunia kini sebanyak 219 kes.

Jurucakap EU, Stefan De Keersmaecker memaklumkan, 27 negara anggota bersetuju membenarkan HERA mendapatkan vaksin wabak itu dalam masa terdekat.


(Foto hiasan)

"Prosedur tepat akan ditentukan dengan negara anggota dalam beberapa hari akan datang", katanya.

Setakat ini, Britain melaporkan angka tertinggi iaitu sebanyak 71 kes, diikuti Sepanyol 51 kes dan Portugal 37 kes.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes wabak mencecah 219, meningkat lima kali ganda dalam tempoh seminggu.

"HERA sememangnya bekerjasama dengan negara anggota dan dengan pengeluar untuk mendapatkan vaksin dan terapeutik untuk Cacar Monyet", menurut De Keersmaecker.

Walaupun EU sudah mengambil peranan sebagai penyelaras dan pra-pembelian berbilion dos vaksin COVID-19 untuk negara anggotanya, De Keersmaecker berkata situasi Cacar Monyet adalah berbeza.

"Vaksin Cacar Monyet terhad kepada kes yang sangat spesifik kerana kebolehjangkitan dan risiko daripada virus itu tidak setanding dengan COVID-19," katanya.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) dalam kemas kini pada hari Khamis berkata bahawa walaupun jumlah kes meningkat lima kali ganda sejak seminggu lalu, risiko penularan kekal sangat rendah.

Media Baharu