(Orang awam yang cedera meninggalkan kediaman masing-masing / REUTERS)
KIEV, 5 Februari- Sekurang-kurangnya tiga orang cedera dalam serangan peluru berpandu ke atas bangunan kediaman di wilayah Kharkiv timur Ukraine awal Ahad.
“Pada masa ini, tiga mangsa diketahui: seorang wanita berusia 54 tahun dan dua lelaki, 51 dan 55 tahun,” kata Gabenor Kharkiv Oleh Synyehubov dalam mesej di Telegram.
Synyehubov berkata, wanita berusia 54 tahun itu dimasukkan ke hospital dengan luka akibat serpihan letupan, manakala dua lelaki itu dirawat di tempat kejadian.
“Maklumat mengenai mangsa sedang disahkan. Semua perkhidmatan kecemasan ada di lokasi kejadian” kata Synyehubov lagi.
Datuk Bandar Kharkiv Ihor Terehov melaporkan pada mulanya, dua peluru berpandu S-300 Rusia mengenai pusat Kharkiv di daerah Kyivskyi.
Lebih 11 bulan telah berlalu sejak Rusia memulakan operasi ketenteraan khasnya yang menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 7,110 orang awam dan 11,547 cedera, menurut angka terkini PBB. -REUTERS
(Para petugas keselamatan melakukan tugas-tugas menyelamat / REUTERS)