fb fb fb fb fb

Rusia hasilkan dron kamikaze dengan enjin dari China

FOTO REUTERS

KIEV, 13 September- Rusia mula menghasilkan dron serangan jarak jauh baharu yang dipanggil Garpiya-A1 tahun lepas menggunakan enjin dan komponen dari China dan telah menggunakannya dalam perang di Ukraine, menurut dua sumber dari agensi perisikan Eropah serta dokumen yang dilihat Reuters.

Maklumat perisikan tersebut termasuk kontrak pengeluaran dron baharu, surat-menyurat syarikat mengenai proses pembuatan dan dokumen kewangan menunjukkan IEMZ Kupol, anak syarikat pembuat senjata milik kerajaan Rusia Almaz-Antey, telah menghasilkan lebih daripada 2,500 Garpiya dari Julai 2023 hingga Julai 2024.

Kewujudan dron baharu Rusia yang menggabungkan teknologi China itu belum pernah dilaporkan sebelum ini. IEMZ Kupol dan Almaz-Antey bagaimanapun tidak memberikan maklum balas mengenai pendedahan tersebut.

Menurut dua sumber perisikan tersebut, dron Garpiya telah digunakan untuk menyerang sasaran tentera dan awam di Ukraine, menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur kritikal serta korban dalam kalangan orang awam dan tentera.

Mereka berkongsi dengan Reuters gambar yang dikatakan sebagai serpihan dron Garpiya dari Ukraine, tetapi tidak memberikan butiran lanjut. Reuters menemui maklumat yang menguatkan pendedahan ini, namun tidak dapat mengesahkan kesahihan imej tersebut.

Samuel Bendett, seorang felo kanan adjung di Center for a New American Security, sebuah badan pemikir yang berpusat di Washington DC, memberitahu Reuters jika kewujudan Garpiya disahkan, ia akan menandakan satu perubahan daripada kebergantungan Rusia terhadap rekaan Iran untuk dron jarak jauh.

"Jika ini berlaku, ia mungkin menunjukkan bahawa Rusia kini boleh lebih bergantung kepada pembangunan domestik serta jelas sekali, kepada China, memandangkan kedua-dua pihak dalam perang berkenaan banyak bergantung kepada komponen dari China untuk pengeluaran dron," katanya.

Menurut laporan, Iran telah membekalkan lebih daripada seribu dron "kamikaze" Shahed kepada Rusia sejak permulaan pencerobohan pada Februari 2022, kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy pada Mei tahun lepas.

Dron-dron tersebut telah digunakan untuk melemahkan pertahanan udara Ukraine dan menyerang infrastruktur yang jauh daripada barisan hadapan. Namun, Iran berulang kali menafikan menghantar dron kepada Rusia untuk digunakan di Ukraine.

Kementerian luar China, dalam satu kenyataan kepada Reuters, mengatakan Beijing mengawal ketat eksport barangan yang berpotensi digunakan untuk tujuan ketenteraan, termasuk dron.

"Berhubung krisis Ukraine, China sentiasa komited untuk mempromosikan rundingan damai dan penyelesaian politik," menurut kenyataan tersebut. Ia turut menambah bahawa tiada sekatan antarabangsa terhadap perdagangan China dengan Rusia.- REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE