fb fb fb fb fb

11 sekeluarga maut, serangan udara Israel sasar rumah orang awam

FOTO REUTERS

GAZA, 14 September- Agensi pertahanan awam Gaza memaklumkan, serangan udara Israel terbaharu telah mengenai sebuah rumah di Gaza City pada pagi Sabtu dan membunuh 11 anggota satu keluarga, termasuk wanita dan kanak-kanak.

"Kami telah menjumpai 11 mayat termasuk empat kanak-kanak dan tiga wanita, selepas serangan udara Israel mengenai rumah keluarga Bustan di timur Gaza City," kata jurucakap agensi, Mahmud Bassal, kepada AFP.

Serangan tersebut berlaku berhampiran sekolah Shujaiya di kawasan Al-Tuffah di Gaza City, katanya.

"Pasukan penyelamat masih meneruskan pencarian untuk mangsa yang hilang," kata Bassal.

Tentera Israel tidak memberikan sebarang keterangan mengenai serangan tersebut.

Bassal berkata tentera Israel telah melakukan serangan serupa di beberapa kawasan lain di wilayah yang dikendalikan oleh Hamas pada waktu malam, membunuh sekurang-kurangnya 10 orang.

Lima orang terbunuh di barat laut Gaza City apabila serangan udara mengenai sekumpulan orang berhampiran sekolah Dar Al-Arqam, katanya.

Tiga orang lagi terbunuh dalam serangan di kawasan Al-Mawasi di wilayah Khan Yunis selatan, tempat di mana puluhan ribu rakyat Palestin yang terpaksa berpindah mencari perlindungan, tambah Bassal.

Kempen ketenteraan Israel setakat ini telah membunuh sekurang-kurangnya 41,118 orang di Gaza.

Pejabat hak asasi manusia PBB mengatakan kebanyakan yang terkorban adalah wanita dan kanak-kanak.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE