fb fb fb fb fb

Satu daripada empat lelaki kulit hitam AS bawah umur 50 sokong Trump- NAACP

FOTO REUTERS

NEW YORK, 14 September- Lebih satu perempat lelaki kulit hitam muda mengatakan mereka akan menyokong calon Republikan, Donald Trump, dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat tahun ini, menurut tinjauan Persatuan Kebangsaan bagi Kemajuan Orang Kulit Berwarna (NAACP) yang dikeluarkan pada Jumaat.

Pengundi kulit hitam telah lama menjadi penyokong setia parti Demokrat, namun semasa tempoh Presiden Joe Biden, sebahagian pengundi kulit hitam mula hilang keyakinan terhadap parti itu.

Pengundi kulit hitam memainkan peranan besar dalam membantu Biden ke White House pada tahun 2020, dan Naib Presiden juga dari Demokrat Kamala Harris berharap untuk mendapatkan sokongan mereka dalam pilihan raya presiden yang akan berlangsung pada 5 November.

Sebahagian besar pengundi kulit hitam, sebanyak 63%, merancang untuk menyokong Harris, berbanding 13% untuk Trump, menurut tinjauan NAACP baru-baru ini, yang melibatkan 1,000 pengundi kulit hitam berdaftar di seluruh AS dari 6 hingga 12 Ogos.

Namun, 26% pengundi lelaki kulit hitam bawah usia 50 tahun mengatakan mereka menyokong Trump, berbanding 49% yang menyokong Harris. Bagi lelaki kulit hitam berusia lebih 50 tahun, 77% mengatakan mereka menyokong Harris.

67% wanita kulit hitam mengatakan mereka menyokong Harris, manakala 8% mengatakan mereka menyokong Trump.

Tinjauan tersebut mengunjurkan, isu utama bagi pengundi kulit hitam adalah ekonomi, jenayah, dan keselamatan awam dengan kos makanan, perumahan, dan utiliti menjadi tekanan ekonomi terbesar.

82% lelaki kulit hitam bawah usia 50 menyenaraikan isu ekonomi sebagai isu paling penting yang dihadapi negara hari ini, berbanding 75% wanita kulit hitam dari semua peringkat umur.- REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE