fb fb fb fb fb

Rundingan damai mesti fokus 'orde baharu dunia' - Lavrov

(FOTO AFP)

ANKARA, 8 April - Moscow semalam menegaskan sebarang rundingan damai dengan Ukraine mesti memfokus kepada pewujudan 'orde baharu dunia.'

Perkara itu ditekankan oleh Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov ketika melawat Turkiye serta mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat, Mevlut Cavusoglu. Hingga kini, Turkiye terus mengekalkan hubungan dengan Moscow dan Kiev.

Lavrov turut memberi penegasan untuk membatalkan perjanjian bijirin yang diusahakan oleh Turkiye, sekiranya sekatan terhadap eksport Rusia diteruskan.

(FOTO AFP)

"Sebarang rundingan perlu mengambil kira kepentingan dan kebimbangan Rusia. Ia harus mengenai prinsip yang akan menjadi tunjang kepada orde baharu dunia," katanya.

Lavrov berkata, Rusia menolak 'orde unipolar dunia yang diketuai oleh hegemoni tunggal.'

Rusia telah sekian lama menyatakan pendirian menentang dominasi Amerika Syarikat (AS) di pentas antarabangsa dan mendakwa pencerobohan di Ukraine adalah sebahagian usaha berkenaan.

Kemelut peperangan yang berlarutan di Ukraine meningkatkan kebimbangan akan krisis makanan global berikutan Rusia dan Ukraine adalah pengeksport utama bijirin serta produk pertanian lain.

Namun, Lavrov menekankan, Rusia berkemungkinan akan menarik diri daripada perjanjian yang membenarkan eksport penting untuk melepasi sekatan di pelabuhan di Laut Hitam.

"Jika tiada perkembangan lanjut bagi menamatkan sekatan terhadap eksport bijirin serta baja Rusia, maka kami akan mempertimbangkan sama ada perjanjian ini perlu," katanya.

Bagaimanapun pada malam lawatan itu, Moscow berkata, pihaknya akan melanjutkan perjanjian selama 60 hari lagi sebagai tanda niat baik. -AFP

Media Baharu