fb fb fb fb fb

Rumah kediaman Menteri Pertananan Chile dirompak

SANTIAGO, 15 Mei- Kediaman Menteri Pertahanan Chile, Maya Fernandez, dirompak malah anak lelakinya dipukul selain mengancam keselamatan suaminya.

Menurut pihak berkuasa, Fernandez yang juga cucu bekas pemimpin Sosialis, Salvador Allende, tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku di kawasan kejiranan Nunoa, Santiago, kelmarin.

"Berlaku rompakan di kediaman Menteri Pertahanan. Beberapa individu tidak dikenali mencuri wang tunai dan sebuah kenderaan," kata Ketua Polis Daerah, Jeneral Jean Camus.

Sementara itu pada malam sama, seorang pengawal peribadi dalam pasukan keselamatan Presiden Gabriel Boric, juga dirompak dan ditembak sekumpulan lelaki ketika mangsa berada dalam kenderaan rasmi.

Serangan berlaku di kawasan kejiranan San Miguel di selatan Santiago ketika pengawal keselamatan terbabit sedang memandu kenderaan berkenaan pulang ke Istana Presiden.

(FOTO AFP)

Menurut polis, penyerang membawa mangsa ke bandar di utara Santiago dan menembak serta meninggalkannya di jalan, sebelum melarikan diri dengan mencuri kenderaan rasmi itu.

Setakat ini, tiada maklumat lanjut mengenai keadaan mangsa yang berpangkat Sarjan dalam pasukan polis kebangsaan Chile atau Carabineros.

Pegawai Chile menggesa supaya usaha digandakan bagi meningkatkan keselamatan dan mengekang jenayah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Manuel Monsalve, menegaskan langkah konkrit sudah diambil untuk memburu pelaku jenayah terancang. -AFP

Media Baharu