fb fb fb fb fb

Hospital Al-Shifa jadi lokasi pengebumian rakyat Palestin

Foto VIORY

GAZA, 24 September — Puluhan rakyat Palestin terpaksa mengebumikan ahli keluarga mereka di pekarangan Kompleks Perubatan Al-Shifa, utara Gaza pada Selasa, berikutan tanah perkuburan tidak dapat diakses ketika operasi ketenteraan Israel berterusan.

Seorang penduduk Gaza, Naim Mahra berkata, mereka tiada pilihan lain selain mengebumikan jenazah di halaman hospital kerana seluruh Gaza berada di bawah kepungan Israel.

“Kami tiada pilihan lain selain mengebumikan orang meninggal dunia di halaman hospital kecil ini. Seluruh Gaza dikepung, sesiapa yang keluar mungkin dibunuh. Jadi, kami kuburkan mereka di sini sementara, sehingga kami berpeluang memindahkan mereka dan mengebumikan di tanah perkuburan yang sebenar," katanya di sini.

Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh akibat serangan Israel di seluruh Gaza pada Selasa, manakala Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan 38 kematian dan 190 kecederaan baharu dalam tempoh 24 jam.

Tentera Israel setakat ini belum mengulas mengenai serangan itu, namun terus memperluas kempen ketenteraan di Gaza dalam fasa kedua 'Operation Gideon Chariots', kononnya bagi membebaskan tebusan dan menamatkan Hamas.

Serangan berterusan Israel di Gaza sejak 7 Oktober 2023 mengorbankan 65,382 penduduk Palestin dan mencederakan 166,985 yang lain. -VIORY

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM