fb fb fb fb fb

Duta Rusia di AS diancam

WASHINGTON, 15 Mei- Duta Rusia di Amerika Syarikat (AS), Anatoly Antonov, mendakwa diplomat Moscow di Washington diancam keganasan.

Malah turut didekati khidmat perisikan AS yang dikatakan berusaha menjalin kontak dengan mereka, lapor agensi berita TASS, semalam.

Antonov memberitahu saluran televisyen Rusia, mesyuarat bersemuka juga tidak lagi diadakan antara pegawai negara itu dengan AS sejak Moscow menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu.

"Kedutaan kami beroperasi dalam persekitaran yang saling bermusuhan. Bahkan, kakitangan kedutaan menerima ancaman, termasuk dari segi keganasan fizikal.

"Ejen daripada perkhidmatan keselamatan AS menunggu di kawasan luar Kedutaan Rusia, dan ada yang memberi nombor telefon Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI)" katanya menurut laporan TASS.

(Kedutaan Rusia di Washinton. /AFP)

Bagaimanapun, CIA dan FBI enggan mengulas dakwaan itu, manakala Pejabat Pengarah Perisikan Kebangsaan dan Jabatan Negara AS belum memberikan sebarang kenyataan setakat ini.

Sebelum ini, Duta Rusia ke Poland dilaporkan disimbah dengan bahan berwarna merah oleh individu membantah peperangan itu, Isnin lalu.

Rusia dan AS saling terbabit pertikaian berhubung saiz dan fungsi misi diplomatik masing-masing, lama sebelum Rusia mencerobohi Ukraine.

Moscow mengusir sejumlah diplomat AS pada Mac lalu selepas Washington mengusir 12 diplomat Rusia dalam misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) negara itu di New York. -REUTERS

Media Baharu