fb fb fb fb fb

Ruang solat tertinggi di dunia menghadap Kaabah

Keindahan ruang solat itu dikenali sebagai Sky Mussallah atau Mussollah di langit

KUALA LUMPUR, 25 Januari - Ruang solat tertinggi di dunia dengan pemandangan indah menghadap Kaabah dan Masjidil Haram telah dibuka di sebuah hotel mewah Jabal Ommar Makkah.

Memetik Arab News, keindahan ruang solat itu dikenali sebagai Sky Mussallah atau Mussollah di langit yang mana menghubungkan menara berkembar hotel di tingkat 36, 37 dan 38.

Lebih menarik lagi, setiap jemaah atau pelancong boleh mendengar laungan azan dan solat dengan jarak yang cukup dekat.

Pasti ramai tidak menyangka, bahawa ruang solat itu sebenarnya laluan dalam jambatan yang merupakan penghubung antara dua bangunan hotel berkembar pada ketinggian 483 meter dari paras laut.

Ruang solat tertinggi itu juga pernah direkodkan dalam buku Rekod Dunia Guinness.

Melalui kenyataan pihak hotel, ruang solat itu memiliki keluasan 550 meter persegi yang mana boleh menampung sehingga 520 jemaah.

Rekaan dalaman Sky Musallah juga menampilkan gabungan pesona Arab purba serta kemewahan kontemporari dengan seni kaligrafi Islam.

Setiap ukiran kaligrafi juga menghimpunkan nama-nama Allah swt dan ukiran dinding yang memaparkan ayat suci Al-quran antaranya surah 3 Qul.

Reka bentuknya juga dibina dengan memperuntukkan 50 peratus kawasan bagi ibadah solat, manakala baki ruang pula adalah untuk perkhidmatan lain.

Sky Mussallah adalah bukti kecemerlangan seni bina dan kreativiti tanpa had yang menggunakan teknologi canggih dan peralatan khas untuk menghasilkan reka bentuk yang luar biasa.

GRACE AISYAH KEDAYAN