fb fb fb fb fb

110 etnik Rohingya ditahan cuba lolos masuk Malaysia

Pelarian Rohingya yang baru tiba menaiki trak untuk dipindahkan ke tempat perlindungan sementara selepas penduduk kampung menolak kem penempatan mereka, di Banda Aceh pada Disember lalu/Foto fail AFP

YANGON, 25 Januari - Lebih 110 etnik Rohingya dari Myanmyar barat yang dilanda perang ditahan ketika cuba melarikan dari negara itu ke Malaysia.

Sumber keselamatan tempatan berkata kepada AFP, seramai 59 lelaki dan 58 wanita ditahan dalam dua trak di perbandaran Thanbyuzayat di timur negeri Mon semalam, dipercayai dalam perjalanan menuju ke Malaysia melalui Thailand.

Etnik Rohingya Myanmar yang kebanyakannya beragama Islam dianggap sebagai penceroboh negara itu yang berasal dari Bangladesh.

Mereka dinafikan kewarganegaraan dan memerlukan kebenaran untuk melakukan perjalanan.

Menurut laporan awal, kumpulan itu melakukan perjalanan pertama dengan bot dari Sittwe dan Maungdaw di negeri Rakhine dan kemudiannya dijemput oleh pengedar di Thanbyuzayat untuk perjalanan seterusnya ke Thailand sebelum ditinggalkan di sana.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pertempuran antara junta dan kumpulan bersenjata etnik Arakan Army (AA) menggegarkan sebahagian besar negeri Rakhine menyebabkan puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal.

Sejak daripada pertempuran itu, tentera menutup laluan lebuh raya dan melarang perjalanan menerusi laut di negeri itu.

Pada 2017, tentera melancarkan tindakan keras terhadap Rohingya di Rakhine menyebabkan ratusan ribu minoriti yang teraniaya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh.

Tindakan keras itu kini menjadi subjek kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa manakala Rohingya yang kekal di Myanmar tertakluk kepada apa yang disifatkan kumpulan hak asasi sebagai keadaan seperti aparteid.

Setiap tahun, ribuan etknik Rohingya melakukan perjalanan laut yang berisiko dari Myanmar dan dari kem pelarian yang penuh sesak di Bangladesh untuk cuba sampai ke Malaysia atau Indonesia.

Menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kira-kira 569 etnik Rohingya dilaporkan mati atau hilang di laut tahun lepas.

Ia merupakan jumlah tertinggi sejak 2014.

Hampir 4,500 memulakan perjalanan laut dari Myanmar atau kem di Bangladesh pada 2023, kata agensi itu. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN