fb fb fb fb fb

Itali beri bantuan rawatan kepada 100 kanak-kanak Palestin yang cedera

Sistem kesihatan hampir lumpuh keseluruhannya di Gaza selepas lebih tiga bulan pengeboman dan pertempuran Israel yang dahsyat di wilayah Palestin yang terkepung./ AFP

ROME, 25 Januari- Seramai 100 kanak-kanak Palestin yang cedera di Gaza akibat perang akan menerima rawatan perubatan di hospital Itali, kata kementerian pertahanan di Rom semalam.

Sistem kesihatan hampir lumpuh keseluruhannya di Gaza selepas lebih tiga bulan pengeboman dan pertempuran Israel yang dahsyat di wilayah Palestin yang terkepung.

Kementerian mengumumkan "permulaan operasi untuk membawa 100 kanak-kanak Palestin dan keluarga mereka dari Semenanjung Gaza ke kemudahan hospital Itali".

Seramai 30 kanak-kanak pertama akan dipindahkan dalam beberapa hari akan datang "dengan pengangkutan tentera udara antara Itali dan Mesir", kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Sementara 30 lagi kanak-kanak akan tiba pada akhir bulan ini menaiki kapal tentera Itali, "Nave Vulcano", yang akan meninggalkan pelabuhan El Arish di Mesir tidak lama lagi, tambahnya.

Kanak-kanak itu akan dimasukkan ke beberapa hospital di bandar Itali, termasuk Rom, Bologna, Florence dan Genoa.

Secara berasingan, kementerian berkata ia sedang berbincang dengan negara-negara di rantau ini untuk menubuhkan hospital medan tentera.

Semalam, tujuh kanak-kanak Palestin yang cedera tiba di Perancis untuk rawatan perubatan, pemindahan kedua sedemikian ke negara Eropah selepas dua lagi kanak-kanak Palestin tiba pada akhir Disember.

Perang di Gaza meletus apabila kumpulan pejuang Palestin Hamas melancarkan serangan pada 7 Oktober, mengakibatkan kematian kira-kira 1,140 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi.

Sekurang-kurangnya 25,700 rakyat Palestin, majoriti penduduk awam, telah terbunuh di Semenanjung Gaza dalam pengeboman dan serangan darat Israel, menurut kerajaan Hamas yang mengendalikan wilayah itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Selasa memberi amaran tentang "ancaman kebuluran' di wilayah itu. — AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI