fb fb fb fb fb

Rompakan bank ala Hollywood di Iran

(FOTO REUTERS)

TEHRAN, 7 Jun - Sekumpulan perompak memecah masuk sebuah cawangan bank terbesar Iran dan melarikan lebih 160 peti keselamatan, kata bank itu pada hari Selasa.

Bank Melli milik kerajaan menerusi laman webnya mengesahkan, 168 peti keselamatan yang disewa pelanggan dibawa lari dari salah satu cawangannya yang paling penting.

Bank mahupun polis tidak mendedahkan jumlah kerugian, seperti kebiasaan dalam kes sedemikian.

Perompak mengambil kesempatan daripada cuti kebangsaan pada hari Ahad untuk memasuki cawangan bank di Jalan Enghelab, antara jalan raya utama di Tehran.

Menurut agensi berita Fars, mereka membuka kunci pintu belakang dan melarikan diri mengikut laluan sama, sambil mengunci semula pintu berkenaan.

Polis menafikan laporan media tempatan bahawa penggera bank berbunyi untuk memaklumkan pengurus cawangan, namun beliau tidak berbuat apa-apa kerana kerap menerima makluman palsu.

(Foto fail menunjukkan orang ramai berjalan melepasi cawangan utama bank terbesar Iran, Bank Melli Iran, di Tehran/AP)

Pengguna Internet berkata jenayah itu "menyerupai filem Hollywood".

Beberapa pekerja yang disyaki "cuai" sedang disiasat, kata polis Tehran kepada agensi berita rasmi IRNA.

Bank Melli berjanji akan mengimbangi sepenuhnya kerugian yang dialami penyewa kotak keselamatan yang dirompak. -AFP

Media Baharu