fb fb fb fb fb

Bank Dunia kurangkan unjuran pertumbuhan global 2022 kepada 2.9%

(Kapal kontena Maersk Line Maersk Batam belayar di Bosphorus, dalam perjalanan ke Laut Mediterranean, di Istanbul, Turki 10 Ogos 2018/REUTERS)

WASHINGTON, 7 Jun - Bank Dunia menurunkan anggaran pertumbuhan ekonomi global kepada 2.9%, berbanding ramalan awal 4.1% pada Januari, disebabkan pencerobohan Rusia di Ukraine yang telah menyebabkan kemerosotan teruk.

"Ekonomi dunia dijangka mengalami kemerosotan paling teruk berikutan pemulihan awal daripada kemelesetan global dalam tempoh lebih 80 tahun," kata bank itu dalam laporan Prospek Ekonomi Globalnya.

Kemerosotan itu berlaku selepas pertumbuhan pulih kepada 5.7% pada 2021 berikutan kemerosotan yang disebabkan pandemik COVID-19.

Pencerobohan Rusia dan sekatan Barat terhadap Moscow telah menyebabkan harga bijirin dan minyak melambung, dan pemandu di seluruh dunia berdepan harga minyak yang tinggi.

"Perang di Ukraine, sekatan pergerakan di China, gangguan rantaian bekalan dan risiko stagflasi menjejaskan pertumbuhan. Bagi kebanyakan negara, kemelesetan akan sukar dielakkan," kata Presiden Bank Dunia, David Malpass.

(Presiden Bank Dunia, David Malpass menghadiri Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP26) di Glasgow, Scotland, Britain, 3 November 2021/REUTERS)

Peperangan itu menambah kerosakan akibat pandemik COVID-19, memperbesar kelembapan ekonomi global,"yang memasuki fasa yang boleh menjadi tempoh pertumbuhan lemah yang berlarutan dan inflasi yang meningkat," menurut laporan itu.

"Ini meningkatkan risiko stagflasi, dengan akibat yang bolej membahayakan ekonomi berpendapatan sederhana dan rendah."

Laporan itu mencatatkan beberapa persamaan dengan tahun 1970-an apabila pertumbuhan terhenti dan inflasi meroket dengan faktor bekalan yang mendorong kenaikan harga dan tempoh kadar faedah rendah yang panjang.

Tetapi berbeza dengan tempoh itu, AS$ kukuh, dan institusi kewangan utama berada dalam kedudukan yang kukuh.

Bank itu memberi amaran agar tidak cuba menyelesaikan lonjakan inflasi dengan kawalan harga atau sekatan eksport, sebaliknya menggalakkan pengeluaran dan mengelakkan sekatan perdagangan. -AFP

Media Baharu