GAZA, 24 September - Hampir 90 peratus penduduk Gaza, iaitu kira-kira 1.9 juta orang, kehilangan tempat tinggal sekurang-kurangnya sekali sejak Oktober 2023 akibat serangan berterusan Israel, menurut Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).
Setiap kali serangan baharu dilancarkan, orang awam Palestin terpaksa berpindah.
Israel mengarahkan mereka menuju ke kawasan yang digelar “zon selamat”, namun hakikatnya ia tidak lebih daripada tipu daya yang meragut nyawa.
Jurucakap Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (OCHA) di Gaza, Olga Cherevko, berkata pemindahan berpotensi membabitkan ratusan ribu lagi penduduk dari utara ke selatan akan menjadi malapetaka.
“Perkara kritikal yang perlu ditekankan ialah orang ramai mesti dapat menerima bantuan di mana sahaja mereka berada, sama ada di utara atau selatan,” katanya kepada REUTERS.
Israel kini melancarkan serangan darat untuk menawan Gaza, pusat bandar terbesar wilayah itu, dengan tujuan mengusir penduduk ke selatan, khususnya ke Al-Mawasi.
Al-Mawasi, di barat Khan Yunis, yang pernah diisytiharkan sebagai “zon selamat”, kini sesak dengan ratusan ribu orang awam dalam khemah usang tanpa bekalan air, elektrik atau perkhidmatan asas, malah terus berdepan ancaman serangan udara Israel.
Dalam pada itu, beberapa bandar di Gaza musnah sejak serangan Israel tercetus pada akhir 2023.
Analisis satelit Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan 78 peratus bangunan di seluruh Gaza rosak atau musnah.
Rafah di selatan dan Beit Hanoun di utara kini hanya tinggal runtuhan, bagaikan bandar mati. -REUTERS