HONG KONG, 24 September - Kira-kira 80 peratus pesawat milik empat syarikat penerbangan utama berpangkalan di Hong Kong telah dipindahkan ke lapangan terbang di Jepun, China, Kemboja, Eropah, Australia dan beberapa lokasi lain sebagai persediaan mengahdapi taufan Ragasa, menurut data penjejakan Flightradar24.
Berdasarkan data penjejakan dan pengesahan pihak lapangan terbang sekurang-kurangnya 14 pesawat milik Cathay Pacific Airways dilaporkan berlepas dari Hong Kong ke Lapangan Terbang Phnom Penh Techo di Kemboja pada Selasa (23 September) untuk menunggu sehingga ribut reda.
Syarikat penerbangan terbesar Hong Kong, Cathay Pacific, sebelum ini memaklumkan pada Isnin (22 September) bahawa taufan berkenaan dijangka memberi "kesan besar" kepada operasi syarikat itu, dengan lebih 500 penerbangan jarak jauh dan serantau terpaksa dibatalkan.
Amalan memindahkan pesawat ke lokasi luar semasa kejadian cuaca buruk atau peningkatan risiko konflik adalah prosedur operasi standard industri penerbangan bagi mengelakkan kerosakan dan memenuhi syarat insurans.
Langkah itu juga membolehkan pesawat berada dalam keadaan bersedia untuk operasi penerbangan semula sebaik sahaja ribut berakhir.- REUTERS