GAZA CITY, 24 September - Penduduk Palestin berkumpul di Hospital Al-Ahli Arab pada Rabu untuk memberi penghormatan terakhir kepada ahli keluarga yang terkorban dalam serangan udara Israel di sini.
Menurut petugas perubatan, sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan ramai lagi cedera apabila serangan udara Israel mengenai sebuah pusat perlindungan yang menempatkan keluarga pelarian berhampiran sebuah pasar di tengah bandar. Dua lagi mangsa dilaporkan maut di sebuah rumah berdekatan.
Pada Rabu, pasukan tentera Israel mara ke tengah Gaza City, sekali gus mengancam nyawa penduduk yang kekal di rumah masing-masing.
Pasukan tentera Israel yang mula mengepung bandar berpenduduk lebih sejuta itu sejak Ogos lalu, terus mengabaikan desakan supaya menghentikan serangan ke atas wilayah itu.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, lebih 65,000 penduduk Palestin maut dalam serangan rejim Zionis, kebanyakannya orang awam.
Konflik berterusan itu juga mengakibatkan kebuluran, kemusnahan besar bangunan serta perpindahan berulang majoriti penduduk wilayah Palestin.- REUTERS