fb fb fb fb fb

Taufan Ragasa: Lebih 770,000 penduduk dipindahkan

Ombak besar menghempas dan memecah benteng pesisir pantai Zhuhai/ REUTERS

GUANGDONG, 24 September - Hujan lebat berterusan menyebabkan jalan raya ditenggelami air dan kenderaan hanyut di wilayah Guangdong, selatan China selepas dilanda taufan Ragasa, pada Rabu menyebabkan lebih 770,000 penduduk dipindahkan ke kawasan selamat.

Rakaman saksi dari sebuah kawasan kediaman bertingkat tinggi di bandar pantai Zhuhai menunjukkan ombak besar menghempas dan memecah benteng pesisir, sekali gus menyebabkan banjir melimpah ke kawasan itu sehingga kenderaan ditenggelami air.

Pihak berkuasa maritim China turut mengeluarkan amaran ombak merah tertinggi buat kali pertama tahun ini, dengan ramalan limpahan air laut setinggi 2.8 meter di beberapa kawasan di Guangdong ketika Ragasa bergerak menuju ke Delta Sungai Mutiara yang padat dengan penduduk.

Menurut laporan media rasmi China, Kementerian Pengurusan Kecemasan telah menghantar puluhan ribu khemah, katil lipat, lampu kecemasan dan bekalan bantuan lain ke Guangdong pada Selasa.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI