fb fb fb fb fb

Moscow tolak dakwaan Trump, nafi ekonomi lemah

Dmitry Peskov/ REUTERS

MOSCOW, 24 September - Rusia menegaskan ekonomi negara itu kekal stabil dan tenteranya sedang mara di Ukraine, sekali gus menolak dakwaan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang menggesa Kiev mengambil peluang daripada kelemahan ekonomi Rusia untuk merampas semula semua wilayah yang diduduki.

Trump pada Selasa menyatakan beliau percaya Ukraine mampu merampas semula semua kawasan yang dikuasai Rusia - ketika ini menguasai kira-kira satu perlima negara itu.

"Presiden Rusia Vladimir Putin berada dalam masalah ekonomi besar, dan inilah masanya Ukraine bertindak," tulis Trump di laman Truth Social.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, menyifatkan kenyataan Trump itu dipengaruhi pertemuannya dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy pada sela-sela Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

"Sudah tentu, Trump mendengar versi daripada Zelenskiy. Buat masa ini, versi itulah yang menjadi asas penilaiannya," kata Peskov dalam temu bual bersama radio RBC.

Beliau menegaskan tentera Rusia sedang mara ke Ukraine dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan kehilangan nyawa dan tidak menjejaskan potensi serangan.

Tindakan itu adalah strategi terancang, walaupun penganalisis ketenteraan Barat menyifatkan tiada kejayaan besar dicapai berikutan pertahanan Ukraine yang teguh selepas lebih tiga tahun setengah peperangan.

Peskov turut menambah, "Dinamik ini menunjukkan bahawa bagi mereka yang enggan berunding sekarang, kedudukan mereka akan menjadi lebih buruk pada esok dan hari-hari mendatang."

"Rusia kekal berdaya tahan dan mengekalkan kestabilan makroekonomi. Ya, Rusia menghadapi ketegangan dan masalah dalam pelbagai sektor ekonomi, yang tidak dapat dielakkan akibat sekatan ekonomi, sekatan antarabangsa serta pergolakan ekonomi global. Ia bukan hanya berpunca daripada sekatan," jelas Peskov.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI