fb fb fb fb fb

Skandal kit ujian COVID-19: Menteri Kesihatan Vietnam, Datuk Bandar Hanoi diberkas

(Menteri Kesihatan Vietnam, Nguyen Thanh Long (kanan) & Datuk Bandar Hanoi, Chu Ngoc Anh (kiri)//RFA Vietnamese)

HANOI, 7 Jun- Menteri Kesihatan Vietnam dan Datuk Bandar Hanoi ditahan berikutan tuduhan terbabit dalam skandal kit ujian COVID-19 bernilai lebih AS$170 juta, kata Kementerian Keselamatan Awam.

Penangkapan dibuat ketika negara itu meningkatkan operasi antirasuah susulan skandal Viet A, membabitkan kegiatan menyogok pegawai untuk membekalkan hospital dengan kit ujian yang sangat mahal.

Kementerian Keselamatan Awam mengeluarkan waran tangkap lewat Selasa untuk Menteri Kesihatan, Ngoc Anh atas tuduhan "melanggar peraturan mengenai pengurusan dan penggunaan aset negara, menyebabkan kerugian dan pembaziran" sepanjang tempoh beliau sebagai Menteri Sains dan Teknologi, menurut kenyataan di laman web Kementerian Keselamatan Awam.

(Viet A/Google)

Waran juga telah dikeluarkan untuk Datuk Bandar Hanoi, Nguyen Thanh Long kerana "menyalahgunakan jawatan dan kuasa semasa menjalankan tugas rasmi".

"Setelah diluluskan oleh Jabatan Tertinggi Rakyat, Kementerian Keselamatan Awam telah melaksanakan perintah mengikut undang-undang," tambah kenyataan di laman web itu.

Kedua-dua mereka telah dilucutkan keahlian Parti Komunis mereka pada hari Isnin, dengan pihak berkuasa memecat mereka daripada jawatan yang disandang awal hari ini sebelum diberkas.

Beberapa pegawai Pusat Kawalan Penyakit (CDC) wilayah lain telah ditahan dalam beberapa bulan kebelakangan ini atas pembabitan dalam skandal berkenaan termasuk memberi kelulusan untuk membuat, menghasilkan dan menggunakan kit ujian COVID-19 Viet A.

Ketua Pengarah Viet A, Phan Quoc Viet menghadapi pertuduhan merasuah pegawai kesihatan untuk menjual kit syarikat kepada hospital dan CDC wilayah pada harga yang jauh lebih tinggi daripada kos pengeluaran, berjumlah AS$172 juta.

AS$34 juta daripadanya telah digunakan untuk tujuan rasuah. -AFP

Media Baharu