fb fb fb fb fb

Rombak perjanjian perdagangan bakal akhiri kebuntuan politik Ireland Utara

Foto Reuters

BELFAST, 2 Februari - Ireland Utara dijangka memulakan langkah bagi memilih kerajaan buat kali pertama dalam tempoh dua tahun selepas Parlimen Britain bersetuju untuk merombak semula perjanjian peraturan perdagangan pasca-Brexit bagi memecahkan kebuntuan politik antara kedua-dua pihak.

Pemimpin Nasionalis Ireland, Sien Fein, dijangka dilantik sebagai Menteri Pertama selepas memperoleh kerusi terbanyak dalam pilihan raya wilayah Britain pada 2022.

Sebelum ini, Ireland Utara tidak mempunyai wakil kerajaan sejak Parti pro-Britain, Parti Kesatuan Demokratik (DUP) menarik diri daripada kerajaan selepas membantah peraturan perdagangan pasca-Brexit yang didakwa mewujudkan halangan kepada seluruh jajahan di dalam United Kingdom sekali gus menjejaskan kedudukan Ireland Utara yang turut berada di dalamnya.

Perjanjian tersebut dianggap sebagai kemenangan politik buat Perdana Menteri Britain Rishi Sunak mengatasi Perdana menteri sebelumnya, Boris Johnson dan membantu menghentikan perbalahan berkaitan peraturan perdagangan Ireland Utara selepas Brexit.

Ia disusuli lobi oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden yang melakukan lawatan ke Ireland Utara tahun lalu.

Setiausaha Negara Ireland Utara, Chris Heaton-Harris mengungkapkan kegembiraan terhadap langkah yang diambil oleh Parti DUP bagi meleraikan kekusutan politik negara itu.

"Saya gembira Parti Kesatuan Demokratik (DUP) telah mengambil langkah seterusnya", kata Heaton-Harris dalam satu kenyataan.

Parlimen Britain pada Khamis meluluskan tanpa undian rasmi berhubung rombakan peraturan yang mengawal perdagangan Ireland Utara yang dirundingkan antara kerajaan Britain dan DUP.

Langkah-langkah itu termasuk menghapuskan sebarang pemeriksaan fizikal apabila barangan dipasarkan menerusi sistem pasaran dalaman UK.

Manakala lebih daripada 80% daripada semua barangan dari Britain ke Ireland Utara tidak akan menghadapi semakan.

Sejurus selepas pengundian, DUP secara rasmi meminta sidang parlimen Ireland Utara untuk membentuk kerajaan melalui perkongsian kuasa, yang merupakan antara bahagian penting dalam perjanjian damai 1998 yang menamatkan keganasan mazhab dan politik antara nasionalis Ireland.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD