MOSCOW, 2 Februari - Armenia tidak lagi boleh bergantung harap kepada Rusia terutamanya sebagai rakan strategik pertahanan dan ketenteraan utama, kata Perdana Menteri negara itu, Nikol Pashinyan.
Menurut Pashinyan, Moscow sebelum ini telah berulang-kali mengecawakan negara berkenaan dan menyebabkan Yerevan memikirkan langkah untuk menjalinkan hubungan lebih erat bersama Amerika Syarikat dan Perancis.
Armenia sebelum ini telah lama bergantung terhadap Rusia sebagai sekutu kuasa besar, walaupun Pashinyan telah menimbulkan kemarahan Kremlin dengan mempersoalkan asas perikatan berkenaan.
"Kita perlu memahami dengan siapa kita benar-benar boleh mengekalkan hubungan teknikal ketenteraan dan pertahanan," kata Pashinyan kepada Radio Awam Armenia apabila ditanya mengenai pembaharuan angkatan tentera Armenia.
Sebelum ini, hampir keseluruhan hubungan pertahanan kita adalah dengan Rusia.
"Sekarang ini, ia tidak boleh dilakukan atas sebab objektif dan subjektif, " katanya.
Pashinya turut berkata Armenia harus memikirkan tentang hubungan keselamatan yang perlu dijalin dengan Amerika Syarikat, Perancis, India dan Georgia.
Sejak kejatuhan Soviet Union, Rusia berdepan saingan daripada Amerika Syarikat (AS) mendominasi negara bekas jajahan Soviet Union yang sebelum ini merupakan sebahagian daripada empayar Rusia.
Tambah Pashinyan, Rusia gagal melindungi Armenia apabila Azerbaijan melancarkan operasi ketenteraan untuk mengambil semula kawalan ke atas enklaf Nagorno-Karabakh yang akhirnya mencetuskan pengusiran beramai-ramai etnik Armenia di kawasan berkenaan.-REUTERS