TEHRAN, 2 Februari -Iran tidak akan sesekali memulakan perang tetapi akan bertindak balas terhadap sesiapa yang cuba untuk membuli negara berkenaan, kata Presiden Iran, Ebrahim Raisi pada Jumaat.
Kenyataan itu dikeluarkan Ebrahim sehari selepas Amerika Syarikat (AS) berkata, ia merancang bagi menyerang kemudahan Iran di Iraq dan Syria.
Spekulasi berhubung kemungkinan AS bakal bertindak balas semakin meningkat selepas tiga askarnya terbunuh Sabtu lalu dalam satu serangan yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan bersenjata yang disokong Iran ke atas sebuah pengkalan ketenteraan AS di Jordan.
Memetik sumber berita CBS, AS dilaporkan telah meluluskan rancangan bagi menyerang pelbagai sasaran milik Iran termasuk kakitangan dan kemudahan di iraq dan Syria.
"Kami tidak akan memulakan apa-apa peperangan.
"Tetapi jika ada yang mahu membuli kami mereka akan menerima akibatnya," kata Raisi dalam ucapan yang disiarkan di televisyen Iran.
"Sebelum ini, apabila mereka (Amerika) mahu bercakap dengan kami, mereka berkata pilihan ketenteraan ada di atas meja.
"Sekarang mereka mengatakan mereka tidak mempunyai niat untuk berkonflik dengan Iran," tambah Raisi.
"Kuasa tentera Iran di Asia Barat ini tidak pernah menjadi ancaman kepada mana-mana negara sebelum ini.
"Sebaliknya, ia memastikan keselamatan yang boleh dipercayai oleh negara-negara di rantau ini," tambah Raisi.
Bulan lalu, tiga tentera AS terbunuh, manakala 28 orang lagi cedera dalam serangan dron ke atas pangkalan tentera negara itu di Al-Tanf berhampiran sempadan Jordan-Syria.
Presiden AS, Joe Biden menyifatkan serangan itu sebagai keji dan tidak adil serta berikrar untuk menghukum pihak bertanggungjawab.- REUTERS