fb fb fb fb fb

Krisis Laut Merah, ribuan ternakan Australia terkandas

Foto /www.mappr.co

SYDNEY, 2 Februari - Kumpulan kebajikan Australia mendesak agar kumpulan Houthi melepaskan kapal yang membawa ribuan haiwan ternakan seperti biri-biri dan kerbau selepas pelayaran ke Asia Barat dilencongkan oleh kumpulan berkenaan di Laut Merah.

Menurut sumber, terdapat kira-kira 15,000 haiwan, kebanyakannya biri-biri menghabiskan masa selama empat minggu di atas kapal MV Bahijah sejak memulakan pelayaran dari Fremantle, Perth, Australia Barat pada 5 Januari lalu.

Jabatan Pertanian Australia dalam kenyataan berkata kapal berkenaan terpaksa menanggukan rancangan untuk belayar melalui Laut Merah susulan situasi keselamatan yang buruk di kawasan berkenaan dan telah diarahkan agar berpatah balik ke Australia, kata kenyataan tersebut.

Kapal berkenaan berlabuh semula di Fremantle pada Khamis selepas tiba di pantai Australia Barat awal minggu ini.

Tambah kenyataan itu, dua doktor haiwan melaporkan haiwan terbabit tidak mempunyai masalah kesihatan, namun terdedah kepada tekanan trauma kumulatif ketika melalui perjalanan yang cukup lama.

Ketua Pegawai Sains Australia (RSPCA), Suzanne Fowler mengesahkan perkara berkenaan sambil berkata pergerakan kapal, risiko penyakit dan keadaan di atas kapal termasuk haba dan suhu mencecah 38 darjah celsius menjadi cabaran utama.

"Kami tidak akan menyokong haiwan berkenaan dieksport semula dalam apa cara sekalipun," katanya, selepas kerajaan berkata ia sedang mempertimbangkan permohonan untuk berbuat demikian oleh pengeksport, yang dikenal pasti dalam media Australia sebagai Bassem Dabbah yang berpangkalan di Israel.

"Perkara tersebut merupakan rancangan yang paling teruk.

"Haiwan-haiwan itu telah cukup menderita sebelum ini. Ia sesuatu yang tidak adil buat mereka. Mereka adalah makhluk yang bernyawa, mereka juga boleh mengalami kesakitan dan kesusahan", tambah Suzanne.

Suzanne turut berkata haiwan ternakan tersebut perlu dibawa keluar daripada kapal berkenaan agar ia tidak menimbulkan risiko biosekuriti dan menggesa agar kerajaan Australia mengambil keputusan secepat mungkin berkaitan perkara tersebut.

Dalam pada itu, aktivis pencinta haiwan, PETA Australia telah menerbitkan surat terbuka epada Perdana Menteri Anthony Albanese pada Khamis dan menyifatkan perkara berkenaan sebagai sesuatu yang jijik dan memalukan negara itu.

Kedua-dua pertubuhan berkenaan, RSPCA dan PETA menentang langkah pengeksportan haiwan hidup, yang merupakan industri utama dengan lebih 670,000 lembu dan 590,000 biri-biri dihantar ke luar negara melalui laut tahun lepas.

Sebelum ini, kerajaan Australia yang dipimpin oleh Parti Buruh telah berjanji untuk menghentikan eksport langsung secara berperingkat tanpa menetapkan tarikh.- AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD