WASHINGTON, 2 Februari - Amerika Syarikat (AS) telah melaksanakan sekatan terhadap empat pendatang Yahudi di Tebing Barat selepas dituduh bertindak ganas terhadap orang awam dan kemusnahan harta benda di wilayah itu.
Aset kesemua individu terbabit di AS akan disekat, dan rakyat AS dilarang melakukan transaksi kewangan dengan mereka.
Ia selari dengan perintah eksekutif yang dikeluarkan oleh Presiden Joe Biden yang meletakkan asas untuk tindakan AS.
Arahan itu mengadakan satu sistem bagi mengenakan sekatan kewangan dan visa terhadap penduduk pendatang Yahudi yang menyerang, mengugut atau merampas harta orang-orang Palestin di Tebing Barat.
Joe Biden menyifatkan bahawa keganasan terhadap orang awam Palestin di Tebing Barat kini mencapai tahap tidak boleh bertolak ansur.
Penasihat Keselamatan Negara White House, Jake Sullivan berkata langkah itu bertujuan menggalakkan keamanan dan keselamatan bagi penduduk di wilayah semenanjung Gaza.
Perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan jumlah kes harian penduduk Yahudi menyerang rakyat Palestin di Tebing Barat semakin meningkat sejak tercetusnya konflik Israel-Hamas pada empat bulan lalu. - AFP