fb fb fb fb fb

Ribut petir di Australia tingkatkan risiko banjir kilat

Foto Fail AFP

SYDNEY, 31 Disember - Bahagian timur Australia berdepan ribut petir yang teruk untuk hari kedua berturut-turut pada Ahad, biro cuaca memberi amaran, dengan hujan lebat meningkatkan risiko banjir kilat.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, cuaca yang merentasi wilayah tenggara Queensland dan utara New South Wales telah menghasilkan hujan lebat, hujan batu setinggi 5 cm dan tiupan angin menghampiri 100 kph.

Pekan luar bandar Beerburrum di wilayah Sunshine Coast di Queensland menerima hujan setinggi 127 mm (5 inci), dalam tempoh purata sebulan.

"Satu hari lagi ribut petir yang teruk sedang dalam perjalanan...dengan risiko ribut menjadi lebih meluas sepanjang minggu pertama 2024," Miriam Bradbury, peramal di Biro Meteorologi berkata dalam mesej video di platform media sosial X.

Beberapa bahagian di Queensland akan menerima "hujan lebat tempatan yang akan membawa kepada banjir kilat," katanya.

Menteri Pengurusan Kecemasan Persekutuan, Murray Watt berkata kerajaan akan mengerahkan sehingga 70 veteran tentera dan pesara pekerja perkhidmatan kecemasan di seluruh tenggara Queensland untuk membantu usaha pembersihan daripada ribut baru-baru ini.

Ribut terbaharu itu susulan cuaca buruk pada 25 dan 26 Disember yang mengorbankan 10 orang dan memutuskan bekalan elektrik untuk puluhan ribu penempatan di seluruh timur, dan selepas Taufan Jasper awal bulan ini menyebabkan banjir dan kerosakan yang meluas.

Perubahan iklim telah meningkatkan cuaca ekstrem Australia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kata pakar.

Fenomena cuaca El Nino, yang boleh mencetuskan kebakaran hutan, taufan dan kemarau berpanjangan, turut memberi kesan kepada negara dalam tempoh musim panasnya sekarang.

Walaupun pihak berkuasa bersiap sedia menghadapi ribut petir di beberapa bahagian, bandar-bandar di pedalaman Queensland sedang dilanda gelombang panas merentasi kawasan di utara Australia.

Suhu di salah satu pekan seperti di Julia Creek, boleh mencecah 45 darjah Celsius pada Ahad, menurut ramalan cuaca.

Namun cuaca di tenggara negara itu dijangkakan sederhana.

Sydney bersedia untuk pertunjukan bunga api ikonik pada malam Tahun Baru dengan pihak berkuasa menjangkakan sejuta orang di sekitar pantai akan menonton paparan piroteknik tradisional selama 12 minit itu.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN